Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Polis Tahan Orang Tengah Cuba Rasuah Rm20 000 Untuk Bebaska

Diterbitkan: 13 Jun 2014 7.17 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.46 AM
KUALA LUMPUR, 1 Jun (Bernama) -- Polis menahan orang tengah bagi satu sindiket pinjaman wang haram (Ah Long) setelah dia cuba memberi rasuah RM20,000 kepada seorang anggota polis di balai polis Ampang..
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/polis-tahan-orang-tengah-cuba-rasuah-rm20-000-untuk-bebaska
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 25/09/2026 07:54 MYT
KUALA LUMPUR, 1 Jun (Bernama) -- Polis menahan orang tengah bagi satu sindiket pinjaman wang haram (Ah Long) setelah dia cuba memberi rasuah RM20,000 kepada seorang anggota polis di balai polis Ampang pada Khamis lepas bagi membebaskan empat suspek yang mempunyai kaitan dengan aktiviti pinjaman wang secara haram.

Ketua Polis Ampang Jaya ACP Abdul Jalil Hassan berkata lelaki terbabit cuba berunding beberapa kali dengan anggota polis tetapi dinasihati bahawa perbuatan itu (merasuah) merupakan satu kesalahan sebelum suspek menunjukkan wang tunai RM20,000 dari sebuah beg.

"Anggota polis segera merampas 200 keping wang tunai RM100 dan membuat laporan bagi mendakwa suspek mengikut Seksyen 17 (b) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abdul Jalil berkata suspek yang berusia dalam lingkungan 40-an, dan dipercayai Ah Long, ditahan reman sehingga esok dan kes itu akan dirujuk kepada SPRM untuk siasatan lanjut.

Katanya polis juga percaya telah dapat melumpuhkan sindiket Ah Long berikutan penahanan empat anggotanya berhampiran sebuah restoran di Pandan Perdana, Isnin lepas.

Sementara itu, Abdul Jalil berkata polis memberkas empat lelaki dan tiga wanita dipercayai pengedar dadah dalam dua kes berasingan di Taman Bukit Teratai dan Pandan Indah minggu lepas.

Dalam serbuan pertama pada 12.30 pagi Ahad lepas, sebuah keluarga warga Myanmar terdiri daripada ibu, tiga anak lelaki dan dua anak perempuannya ditahan di sebuah rumah teres di Taman Bukit Teratai berikutan satu maklumat.

"Dalam serbuan itu, polis merampas 10 paket dengan tiga tiub straw dipercayai berisi heroin seberat 16.3 gram, yang dimasukkan dalam plastik merah.

"Kami turut merampas dua biji pil psikotropik dan satu paket mengandungi syabu di rumah berkenaan, semuanya dadah itu bernilai RM900," katanya.

Abdul Jalil berkata kesemua suspek, berusia antara 13 dan 53 tahun, tinggal di Malaysia sejak 15 tahun lepas dan dipercayai terbabit dalam penjualan dadah sejak enam bulan lepas.

Dalam satu lagi serbuan pada 9.30 malam hari yang sama, seorang lelaki berusia 43 tahun dipercayai pengedar dadah, ditahan selepas polis menjumpai dua paket plastik mengandungi heroin dan satu paket plastik berisi ganja yang disembunyikan dalam topi keledar suspek.

Dia ditahan oleh polis di Pandan Indah selepas didapati dalam keadaan mencurigakan di atas motosikalnya dan hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui dua beg plastik mengandungi heroin hijau yang diletakkan dalam raga motosikal itu.

Abdul Jalil berkata heroin yang dirampas itu seberat 923 gram manakala ganja pula 3 gram dan kesemua dadah itu bernilai RM26,000.

Kesemua suspek bagi kedua-dua kes berasingan itu ditahan reman seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, katanya.

-- BERNAMA
ArtikelDiterbitkan 13 Jun 2014 7.17 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.46 AM