Polis Tahan Lima Orang Bersama 518 Kad Kredit Palsu
Alor
Setar, 5 Sept - Polis Kedah menahan empat lelaki tempatan dan seorang
wanita warga Vietnam bersama 518 keping kad kredit palsu pelbagai bank
dalam satu operasi di sebuah rumah di Sungai Lalang, Sungai Petani semalam.
Dalam
operasi 10.30 pagi itu, polis turut merampas 140 kad kredit kosong
pelbagai bank, sembilan pasport palsu pelbagai negara, lima kad
pengenalan Malaysia (MyKad) palsu, cop Imigresen palsu dalam dan luar
negara dan peralatan-peralatan yang digunakan untuk membuat kad kredit
palsu seperti komputer riba, mesin cetak timbul, mesin mencetak kad dan
mesin pembaca kad jalur magnetik.
Ketua
Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata dalam Ops Helang itu, sepasukan
polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah Kuala Muda
membuat serbuan di Taman Gemilang, Sungai Lalang dan menahan lima suspek
berumur antara 24 hingga 37 tahun.
Katanya
suspek disyaki menjalankan operasi membuat kad kredit palsu, pasport
antarabangsa dan kad pengenalan Malaysia untuk menipu warganegara asing
dan untuk pergerakan keluar masuk Malaysia dan luar negara.
"Suspek-suspek
merupakan ahli sindikit pemalsuan kad kredit. Kad kredit ini diguna
untuk pasaran antarabangsa, tidak digunakan dalam negara. Mereka beri
kepada orang-orang tertentu untuk beli kad ini. Selepas itu kad itu
digunakan di luar negara dan berbelanja di sana dengan amaun sampai
US$5,000.
"Kad-kad
kredit ini digunakan di luar negara seperti Dubai, Itali, Thailand,
Vietnam, China dan India. Pemegang kad beli barang, bawa balik ke
Malaysia dan jual di Malaysia.
"Apabila
guna kad kredit di luar negara, sekiranya perlukan pasport
antarabangsa, mereka gunakan pasport palsu. Mereka ini bukan hanya
terlibat dengan kad kredit palsu tetapi juga pemalsuan pasport
antarabangsa dan kad pengenalan Malaysia untuk menipu," katanya.
Ahmad berkata kesemua lima suspek itu ditahan reman mulai hari ini hingga 8 Sept ini untuk siasatan.
"Kita
jalankan siasatan secara terperinci untuk kesan sindiket-sindiket lain
yang wujud kerana tindakan ini merugikan negara. Kita belum dapat banyak
maklumat. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana
menipu," katanya.
Sehubungan
itu, Ahmad meminta orang ramai supaya berhati-hati jika ditawarkan kad
kredit dengan harga yang murah bagi mengelakkan mereka terguna kad
kredit palsu.
"Dapatkan
kad daripada agensi dan bank yang tulen. Mana-mana pemegang kad yang
rasa curiga, saya nasihatkan supaya pergi ke bank untuk dapat kepastian.
Jika mereka menggunakan kad palsu mereka boleh dikenakan tindakan,"
katanya.

Sumber : BERNAMA
Foto : HEA Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah