Empat Lelaki Kurung Wanita Dalam Hotel Antara 262 Dicekup Da
Kuala
Lumpur, 4 Sept - Empat lelaki yang terbabit mengurung seorang wanita di
sebuah hotel di Brickfields, di sini, antara 262 orang yang ditahan
dalam Ops Cantas Khas Polis Kuala Lumpur sejak 17 Ogos lepas.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata tangkapan itu dibuat setelah mangsa, 19, yang dikurung di bilik hotel berkenaan selama beberapa hari dapat meloloskan diri dan membuat laporan polis minggu lepas.
"Daripada
laporan itu, polis menahan empat lelaki terbabit dan didapati tiga
daripada mereka adalah anggota kumpulan kongsi gelap," katanya kepada
pemberita selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Jabatan
Pengurusan Kuala Lumpur.
Datuk
Dr Chai Khin Chung, yang bertukar ke negeri asalnya di Sarawak sebagai
Ketua Jabatan Pengurusan Polis Sarawak, menyerahkan tugasnya kepada
Datuk Aidi Ismail, yang sebelum ini merupakan Timbalan Pengarah Logistik
II Bukit Aman.
Mohmad
berkata 262 orang yang ditahan atas pelbagai kesalahan jenayah,
ditangkap di sekitar Brickfields, Cheras, Sentul dan Dang Wangi serta
kesemua mereka berumur antara 20 hingga 30 tahun.
Mohmad
berkata daripada jumlah itu, 14 orang adalah ketua dan anggota kumpulan
kongsi gelap 08, 36 dan 77, iaitu antara 49 pertubuhan diharamkan
kerajaan pada 29 Ogos lalu mengikut Akta Pertubuhan 1966.
Daripada
262 itu juga, 163 orang masih ditahan, 47 individu dibawa ke mahkamah,
25 orang dibebaskan dengan jaminan polis dan 27 dibebaskan tanpa syarat
kerana tiada kesalahan.
Daripada
tangkapan itu, polis turut merampas sembilan bilah parang, tiga bilah
pisau, sebilah sabit, dua batang besi panjang, sembilan jam tangan, tiga
topi keledar, lima kamera, dua buku bank, dua plat nombor kenderaan dan
dua pasport.
Beliau
berkata pihaknya turut mendapati satu daripada pasport Malaysia yang
dipercayai dipalsukan apabila menggunakan gambar lelaki berbangsa India
tetapi namanya adalah berbangsa Cina yang dikenali sebagai Yap Kian Lee.
Dalam
Ops Cantas Khas yang bermula tiga minggu lalu di seluruh negara, PDRM
menangkap 4,777 orang dan merampas 136 kenderaan curi, lapan senjata
api, sebutir bom tangan, 54 peluru dan 133 senjata berbahaya.
Sumber : BERNAMA