Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

Polis Tahan Lima Orang Bersama 518 Kad Kredit Palsu

Published: 18 Jun 2014 12.42 AM Updated: 15 Aug 2026 7.41 PM
Alor Setar, 5 Sept - Polis Kedah menahan empat lelaki tempatan dan seorang wanita warga Vietnam bersama 518 keping kad kredit palsu pelbagai bank dalam satu operasi di sebuah rumah di Sungai Lalang, S..
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/polis-tahan-lima-orang-bersama-518-kad-kredit-palsu
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 25/09/2026 15:15 MYT

Alor Setar, 5 Sept - Polis Kedah menahan empat lelaki tempatan dan seorang wanita warga Vietnam bersama 518 keping kad kredit palsu pelbagai bank dalam satu operasi di sebuah rumah di Sungai Lalang, Sungai Petani semalam.

Dalam operasi 10.30 pagi itu, polis turut merampas 140 kad kredit kosong pelbagai bank, sembilan pasport palsu pelbagai negara, lima kad pengenalan Malaysia (MyKad) palsu, cop Imigresen palsu dalam dan luar negara dan peralatan-peralatan yang digunakan untuk membuat kad kredit palsu seperti komputer riba, mesin cetak timbul, mesin mencetak kad dan mesin pembaca kad jalur magnetik.

Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata dalam Ops Helang itu, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah Kuala Muda membuat serbuan di Taman Gemilang, Sungai Lalang dan menahan lima suspek berumur antara 24 hingga 37 tahun.

Katanya suspek disyaki menjalankan operasi membuat kad kredit palsu, pasport antarabangsa dan kad pengenalan Malaysia untuk menipu warganegara asing dan untuk pergerakan keluar masuk Malaysia dan luar negara.

"Suspek-suspek merupakan ahli sindikit pemalsuan kad kredit. Kad kredit ini diguna untuk pasaran antarabangsa, tidak digunakan dalam negara. Mereka beri kepada orang-orang tertentu untuk beli kad ini. Selepas itu kad itu digunakan di luar negara dan berbelanja di sana dengan amaun sampai US$5,000.

"Kad-kad kredit ini digunakan di luar negara seperti Dubai, Itali, Thailand, Vietnam, China dan India. Pemegang kad beli barang, bawa balik ke Malaysia dan jual di Malaysia.

"Apabila guna kad kredit di luar negara, sekiranya perlukan pasport antarabangsa, mereka gunakan pasport palsu. Mereka ini bukan hanya terlibat dengan kad kredit palsu tetapi juga pemalsuan pasport antarabangsa dan kad pengenalan Malaysia untuk menipu," katanya.

Ahmad berkata kesemua lima suspek itu ditahan reman mulai hari ini hingga 8 Sept ini untuk siasatan.

"Kita jalankan siasatan secara terperinci untuk kesan sindiket-sindiket lain yang wujud kerana tindakan ini merugikan negara. Kita belum dapat banyak maklumat. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Sehubungan itu, Ahmad meminta orang ramai supaya berhati-hati jika ditawarkan kad kredit dengan harga yang murah bagi mengelakkan mereka terguna kad kredit palsu.

"Dapatkan kad daripada agensi dan bank yang tulen. Mana-mana pemegang kad yang rasa curiga, saya nasihatkan supaya pergi ke bank untuk dapat kepastian. Jika mereka menggunakan kad palsu mereka boleh dikenakan tindakan," katanya.
 
Polis Tahan Lima Orang Bersama 518 Kad Kredit Palsu

Sumber : BERNAMA
Foto : HEA Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah

ArticlePublished 18 Jun 2014 12.42 AMUpdated 15 Aug 2026 7.41 PM