Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Polis Tahan Lima Lelaki Rampas Dadah Bernilai Hampir Rm190

Diterbitkan: 16 Jun 2014 8.58 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.46 AM
Polis Klang menahan lima lelaki dipercayai pengedar dadah serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM190,000 dalam tiga serbuan di daerah ini sejak Rabu minggu lepas..
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/polis-tahan-lima-lelaki-rampas-dadah-bernilai-hampir-rm190
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 24/09/2026 17:53 MYT

KLANG, 25 Jan (Bernama) -- Polis Klang menahan lima lelaki dipercayai pengedar dadah serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM190,000 dalam tiga serbuan di daerah ini sejak Rabu minggu lepas.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Mohamad Mat Yusop berkata tangkapan terbaru membabitkan dua lelaki berusia 53 dan 34 tahun di sebuah rumah teres di Taman Sentosa, di sini awal Rabu.

Dalam serbuan pukul 4 pagi itu, polis menemui 11 paket lutsinar dipercayai mengandungi dadah jenis syabu, 3,450 biji pil eramin 5, dua botol plastik candu, satu ketulan mampat disyaki ganja seberat 15.5 gram dan 655 biji pil ecstasy.

Kesemua dadah itu dianggar bernilai RM181,415 dan dipercayai untuk diedarkan di kawasan Lembah Klang, katanya pada sidang media di sini.

"Rumah berkenaan dipercayai tempat transit dadah sebelum diedarkan. Kedua-dua suspek juga positif dadah," katanya.

Sementara itu, dalam satu serbuan pada Isnin lepas, polis menahan seorang lelaki berusia 51 tahun dan merampas 60 paket lutsinar berisi dadah dipercayai jenis heroin seberat 125.5 gram bernilai RM4,500.

Dadah terbabit disembunyikan di dalam papan pemuka kereta suspek yang bekerja sebagai pembantu kesihatan sebuah pihak berkuasa tempatan, katanya.

Mohamad berkata dalam serbuan Rabu minggu lepas pula, polis memberkas dua penuntut kolej swasta berusia 23 dan 24 tahun berhampiran Jalan Sentul, Persiaran Raja Muda Musa, di sini kira-kira 6 petang.

Katanya polis bertindak menyamar sebagai pelanggan sebelum memberkas suspek yang menyerahkan sebuah bungkusan mengandungi dua ketulan mampat daun kering dipercayai dadah jenis ganja seberat 1.9 kg bernilai RM4,000.

"Polis bertindak menahan kedua-dua suspek yang turut didapati positif dadah," katanya.

Mohamad berkata kesemua suspek ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu di KUALA LUMPUR, Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohan Singh Tara Singh berkata empat lelaki ditahan kerana dipercayai mengedar dadah, dan pelbagai jenis dadah seberat 318.46 gram dengan nilai pasaran RM15,000 dirampas dalam empat serbuan di sekitar Cheras di sini sejak Jumaat lepas.

Dalam serbuan pertama pada Jumaat lepas, katanya polis menahan seorang pemandu teksi berumur 44 tahun bersama lapan paket plastik lutsinar berisi dadah disyaki jenis Ketamin, 10 biji pil Eramin 5 dan 10 ketulan mampat disyaki ganja di hadapan sebuah pusat hiburan di kawasan Metro Pudu Business Centre.

Lelaki itu didapati memiliki satu rekod jenayah berkaitan kes narkotik, dan kini ditahan reman selama tujuh hari sejak Jumaat lepas, katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini.

Beliau berkata pada hari yang sama, polis turut menahan seorang lelaki berumur 22 tahun yang sedang penunggang motosikal di hadapan perumahan polis Desa Tasik, Sungai Besi, dan merampas heroin seberat 19.18 gram daripada lelaki itu.

Lelaki itu ditahan direman selama lima hari sejak Sabtu lepas, katanya.

Mohan Singh berkata pada Isnin lepas, polis menahan seorang lelaki berumur 27 tahun di kawasan pejalan kaki persimpangan jalan masuk ke Stadium Bukit Jalil dan merampas satu paket Ketamin seberat 60 gram.

Lelaki itu yang mempunyai satu rekod jenayah lampau, ditahan reman selama seminggu mulai hari ini, katanya.

Beliau berkata pada hari yang sama seorang lelaki berumur 29 tahun ditahan bersama satu paket Ketamin seberat 60 gram di kawasan perhentian bas bersebelahan LRT Bukit Jalil.

Lelaki yang mempunyai empat rekod jenayah narkotik ditahan reman selama seminggu mulai hari ini.

Beliau berkata kesemua tangkapan itu dibuat berdasarkan maklumat dan kerjasama orang ramai.

ArtikelDiterbitkan 16 Jun 2014 8.58 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.46 AM