Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Polis Tahan Ibu Tunggal Mengedar Dadah

Diterbitkan: 13 Jun 2014 2.49 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.46 AM
Pemeriksaan ke atas rumah suspek menemui tiga ketulan mampat ganja seberat 940 gram dan 45 bungkusan kecil berisi dadah heroin seberat 1.28 kilogram..
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/polis-tahan-ibu-tunggal-mengedar-dadah
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 26/09/2026 00:43 MYT

KUALA LUMPUR 4 Januari 2010. - Kegiatan pengedaran dadah yang didalangi oleh seorang ibu tunggal sejak enam bulan lalu terbongkar apabila dia ditahan dalam satu serbuan di rumah terpencil di Cheras, baru-baru ini.

Ketika serbuan dilakukan awal pagi Jumaat lepas, penjual bunga berusia 37 tahun itu berada di rumah yang terletak di Jalan Loke Yew, Cheras di sini bersama anak lelakinya berusia lapan tahun. Seorang lagi anak perempuannya yang berusia 12 tahun tiada di rumah ketika serbuan dilakukan oleh sepasukan polis dari Cawangan Siasatan Jenayah Narkotik Dang Wangi pada pukul 2.40 pagi itu.

Pemeriksaan ke atas rumah suspek menemui tiga ketulan mampat ganja seberat 940 gram dan 45 bungkusan kecil berisi dadah heroin seberat 1.28 kilogram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang berkata, nilai keseluruhan rampasan dadah itu dianggarkan bernilai kira-kira RM70,000. Katanya, suspek dipercayai menjalankan kegiatan pengedaran dadah dengan berselindung di rumah tersebut.

"Siasatan polis mendapati urusan jual beli dadah dijalankan menerusi telefon dan para pelanggan akan menempah terlebih dahulu sebelum ke rumah suspek untuk mengambilnya. Pihak pengurusan kawasan pembakaran mayat yang terletak berhampiran rumahnya juga tidak mengetahui kegiatan jenayah dilakukan suspek.Ini kerana pelanggannya biasa pergi ke situ pada waktu lewat malam dan ia sukar dikesan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.

"Mujurlah anak lelakinya itu tidak mengambil dadah. Kedua-dua anak suspek yang masih bersekolah telah diserahkan kepada saudara terdekat untuk dijaga," jelas beliau.

Suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah tetapi ujian saringan air kencing ke atas suspek mengesahkan dia positif dadah jenis syabu

Menurut ACP Kang Chez Chiang, suspek direman sehingga 7 Januari untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati mandatori.

"Siasatan lanjut akan dibuat untuk mengenal pasti dari mana suspek mendapat bekalan," katanya

ArtikelDiterbitkan 13 Jun 2014 2.49 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.46 AM