Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Polis Tahan Dua Pelajar Kolej Rampas Dadah Rm37 440

Diterbitkan: 04 Jan 2018 6.22 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.48 AM
Kuching, 4 Jan 2018 - Polis menahan dua pelajar kolej selepas menemui dadah pelbagai jenis yang dianggar bernilai RM37,440 dalam satu serbuan di sebuah rumah di Jalan Stutong di sini, semalam.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/polis-tahan-dua-pelajar-kolej-rampas-dadah-rm37-440
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 24/09/2026 16:46 MYT


Kuching, 4 Jan 2018 - Polis menahan dua pelajar kolej selepas menemui dadah pelbagai  jenis yang dianggar bernilai RM37,440 dalam satu serbuan di sebuah rumah di Jalan Stutong di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak Supt Sahar Abd Latif berkata kedua-dua pelajar yang berumur 19 dan 20 tahun itu ditahan dalam serbuan yang dibuat susulan aduan orang ramai dan hasil risikan, pada kira-kira 2.30 petang.

Beliau berkata selepas diperiksa, polis menemui satu bekas plastik yang dipercayai mengandungi dadah jenis ketamin seberat 18.8 gram serta pil ekstasi seberat 114 gram dalam rumah berkenaan.

"Hasil pemeriksaan lanjut, polis turut menemui beberapa paket plastik warna perak masing-masing berisi campuran jus buah-buahan dan serbuk ekstasi seberat 162 gram serta pil erimin 5 seberat 78.50 gram, “ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sahar berkata polis juga merampas sebuah kereta Perodua Kelisa, sebuah motosikal berkuasa tinggi jenis Yamaha R2 serta sejumlah wang tunai RM1,208 dan menurutnya semakan mendapati kedua-dua  suspek yang mengaku mengedar dadah sejak pertengahan tahun lalu, tidak memiliki rekod jenayah lampau.

Katanya kedua-dua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut.- BERNAMA

ArtikelDiterbitkan 04 Jan 2018 6.22 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.48 AM