Polis Tahan Dua Lelaki Rampas Dua Pistol Palsu Di Jb
JOHOR
BAHARU, 26 Januari 2012 (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki dan
merampas sepucuk pistol palsu dalam pemeriksaan di sebuah bilik hotel di
Jalan Permas 10, Permas Jaya di sini, Selasa lepas.
Ketua
Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata lelaki berusia 29
tahun itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan rompak dan curi.
"Dalam
pemeriksaan pada pukul 10.20 pagi itu, polis menemui sepucuk pistol
semi auto dipercayai palsu, sebilah pisau pemotong, satu pita hitam,
leraian bahagian pistol semi auto dan satu bateri pistol yang sedang
dicas," katanya.
Bercakap
kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di sini, hari ini,
beliau berkata lelaki itu kini direman selama lima hari sehingga Ahad
ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata Api.
Sehari
sebelum itu, seorang lelaki ditahan dan sepucuk pistol palsu turut
dirampas dalam pemeriksaan terhadap dua lelaki yang menaiki motosikal
dalam keadaan mencurigakan di bandar raya ini.
Mohd
Mokhtar berkata hasil pemeriksaan terhadap beg sandang yang dibawa
lelaki itu menemui sepucuk pistol tanpa kelopak yang bertulis 'United
States Property 856918' yang menyerupai pistol sebenar, satu beg hitam,
lapan anak kunci, sehelai topeng ski warna hitam dan satu telefon
bimbit.
"Semasa
diperiksa, lelaki itu bertindak agresif dengan cuba menyerang polis dan
merampas pistol polis, menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan
yang mengenai kakinya.
"Rakan
lelaki itu berjaya melepaskan diri," katanya sambil menyatakan kes itu
disiasat Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh orang dan
polis kini sedang memburu rakan lelaki itu yang melarikan diri.