Polis Tahan Dua Lelaki Curi 85 Kompressor Penghawa Dingin Ke
Kuala Lumpur, 5 Julai - Polis menahan dua lelaki yang dipercayai terlibat
dalam kejadian mencuri 85 kompresor pendingin hawa kereta bernilai
RM10,000 di sebuah kilang komponen itu di Desa Tun Razak, Cheras pada 3
Julai lepas.
Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohan Singh Tara Singh berkata penahanan suspek berusia lingkungan 30-an dilakukan selepas pengurus kilang itu membuat laporan polis berhubung kehilangan beberapa kompresor berkenaan.
"Laporan
dibuat selepas pengurus kilang mendapati dua suspek itu merupakan
pekerjanya menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
"Bertindak
daripada laporan itu, kami berjaya menahan suspek dan hasil soal siasat
yang dijalankan pihak polis telah membawa kepada penemuan semula 85
kompresor di sebuah rumah di Taman Selayang Jaya, Batu Caves," katanya
kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras hari ini.
Beliau berkata suspek kini ditahan reman sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan.
Sementara
itu, tiga lelaki ditahan selepas cuba memecah masuk sebuah rumah di
Taman Len Sen di sini pada 2 Julai sekali gus menyelesaikan beberapa kes
pecah rumah dan curi sekitar Cheras.
Mohan Singh berkata pihaknya bertindak selepas dihubungi seorang penduduk di taman itu yang rumahnya cuba dipecah masuk suspek.
"Apabila
polis sampai di belakang rumah itu, kami melihat kelibat seorang lelaki
sedang cuba melarikan diri lalu terus menangkapnya. Polis menemui
sebilah kerambit di dalam seluar bahagian depan dan sebilah pisau yang
disimpan pada kaki kiri suspek," katanya.
Beliau
berkata suspek kedua ditahan berhampiran stesen minyak manakala yang
ketiga di Kampung Loke Yew, Setapak bersama sebuah kereta yang
dilaporkan hilang di Kelana Jaya sebelum ini.
Katanya,
suspek yang berusia lingkungan 21 dan 40 tahun itu memiliki beberapa
rekod lampau berkaitan kes dadah dan polis merampas beberapa barang yang
dipercayai digunakan untuk tujuan pecah rumah, antaranya, besi
pengumpil pintu dan tiga batang spanar.
Kesemua
suspek ditahan reman sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen
448 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan
Senjata Berbahaya 1958, katanya.
Sumber : BERNAMA