Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

Polis Tahan 42 Lelaki

Published: 13 Jun 2014 7.42 AM Updated: 17 Jul 2026 11.46 AM
“Dalam operasi itu, polis menahan 29 lelaki tempatan, tujuh lelaki Myanmar, dua lelaki Indonesia dan empat wanita Indonesia. “Daripada 42 ditahan itu, 22 disyaki terbabit insiden menyerang penjawat aw..
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/polis-tahan-42-lelaki
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 25/09/2026 04:00 MYT

KUALA LUMPUR: Terminal Bas Sementara Bukit Jalil, di sini, digempur polis selepas ulat tiket samseng semakin berani memaki-hamun dan memukul anggota pihak berkuasa menjalankan tugas.

Dalam operasi bersepadu dilakukan sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Putrajaya, JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, JPJ Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras dan Balai Polis Sungai Besi petang kelmarin, menangkap seramai 42 lelaki.


Operasi bermula jam 3 petang hingga 8 malam itu turut menahan beberapa warga asing dan pekerja kaunter tiket dipercayai bersekongkol dengan ulat tiket.


Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintenden Abdul Rahim Hamzah Othman ketika dihubungi berkata, operasi terbabit dijalankan susulan laporan dibuat anggota JPJ dipukul ulat tiket pagi Jumaat lalu.


Menurutnya, kumpulan ulat tiket berkenaan seperti mencabar pihak berkuasa dengan bertindak sesuka hati sehingga berani mengepung dan memukul pihak berkuasa serta melawan anggota polis ketika cuba ditahan.


“Dalam operasi itu, polis menahan 29 lelaki tempatan, tujuh lelaki Myanmar, dua lelaki Indonesia dan empat wanita Indonesia. “Daripada 42 ditahan itu, 22 disyaki terbabit insiden menyerang penjawat awam dan selebihnya ditahan atas pelbagai kesalahan lain termasuk positif dadah, pendatang tanpa izin serta menyalah guna permit kerja,” katanya.


Beliau berkata, semua 22 ulat tiket ditahan disiasat mengikut Seksyen 186 dan 147 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan merusuh.


“Sebahagian daripada ulat tiket yang ditahan itu dipercayai bekerja dengan kaunter tiket sebagai peraih penumpang bas. Memang mereka bekerja secara sah, bagaimanapun aktiviti meraih penumpang itu juga dikira sebagai ulat tiket,” katanya.


Mengenai seorang suspek yang bertindak agresif ketika cuba ditahan anggota polis Jumaat lalu, Abdul Rahim berkata, setakat ini gerakan memburu lelaki berkenaan sedang dijalankan.


Harian Metro Sabtu lalu melaporkan lima anggota penguat kuasa JPJ berdepan detik cemas hampir 10 minit apabila dikepung lebih 100 samseng ulat tiket selepas mereka menahan seorang lelaki kerana menjual tiket secara haram di Terminal Bas Sementara Bukit Jalil.


Ketika dikepung, mereka turut diterajang dan dicekik selain dipaksa membebaskan lelaki ditahan itu jika tidak mahu dibelasah.

ArticlePublished 13 Jun 2014 7.42 AMUpdated 17 Jul 2026 11.46 AM