Polis Melaka Tahan 14 Lelaki Disyaki Terlibat Judi Piala Du
MELAKA,
21 Jun 2010 -- Polis menahan 14 lelaki yang dipercayai terlibat dalam
sindiket perjudian haram bola sepak Piala Dunia di Melaka dalam beberapa
serbuan di Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin sejak 11 Jun lepas.
Ketua
Polis Melaka, SAC 1 Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof berkata siasatan awam
mendapati kebanyakan mereka menerima pertaruhan antara RM500 dan
RM20,000 dari setiap penjudi.
Beliau
berkata semua mereka yang berumur antara 15 dan 45 tahun itu disiasat
mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953, yang jika sabit kesalahan
boleh membawa hukuman maksimum penjara lima tahun dan denda minima
RM20,000 dan maksimum RM200,000, atau kedua-dua sekali.
Bercakap
kepada pemberita di Ibupejabat Kontinjen di Bukit Beruang di sini pada
Isnin beliau berkata antara yang dirampas dalam serbuan itu ialah satu
komputer meja, enam komputer riba, lapan telefon bimbit, satu pencetak,
satu modem komputer, satu buku catitan pertaruhan, satu telefon talian
tetap dan wang tunai RM4,000.
Sementara
itu Mohd Rodwan berkata pihaknya percaya 30 kes samun, curi, dan ragut
di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor sejak beberapa bulan lepas berjaya
diselesaikan dengan tertangkapnya lapan lelaki dan seorang wanita
dipercayai anggota kumpulan penjenayah 'Geng Tony' dalam beberapa
operasi sejak 9 Jun lepas.
Beliau
berkata semua suspek berumur antara 20 dan 52 tahun, dan antara yang
turut dirampas dalam serbuan itu ialah sepucuk pistol automatik, kelopak
peluru, 10 peluru hidup, sebuah kereta Hyundai Atos dan sebuah skuter
V100, sebilah pedang samurai, lima telefon bimbit, peralatan menghisap
dadah, satu ketul emas yang dilebur dan seutas jam tangan Rolex.