Polis Tahan 39 Gro Warga China Di George Town
George
Town, 12 Nov - Polis menahan 39 wanita warga China yang bekerja sebagai
pelayan pelanggan (GRO) dalam Ops Noda di sebuah pusat hiburan mewah di
Jalan Burmah di sini malam tadi.
Ketua
Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata pada serbuan pukul 10
malam itu, wanita berusia antara 20-an dan 40-an terbabit sedang asyik
melayan pelanggan dalam premis berkenaan.
"Kesemua
mereka tidak memiliki permit kerja yang sah dan menyalahgunakan pas
lawatan sosial," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Katanya
dalam operasi berkenaan beberapa orang GRO itu bertindak ganas dengan
menarik baju seorang anggota polis sehingga terkoyak untuk mengelak dari
diberkas.
Gan
berkata hasil risikan polis yang menyamar sebagai pelanggan mendapati
GRO berkenaan dibayar antara RM150 hingga RM200 bagi setiap sesi
perkhidmatan dan dipercayai turut menawarkan khidmat seks di luar premis
itu.
Beliau
berkata polis turut menahan dua lelaki berumur 39 dan 58 tahun yang
merupakan penjaga premis serta merekodkan keterangan daripada enam
pelanggan pusat hiburan itu.
Katanya,
kesemua wanita terbabit disiasat mengikut Seksyen 39 (B)
Peraturan-peraturan Imigresen 59/63 yang memperuntukkan hukuman penjara
tidak melebihi enam bulan dan denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya
sekali, jika sabit kesalahan.
Sementara
itu, penjaga premis berkenaan disiasat mengikut Seksyen 55 (B) Akta
Imigresen 59/63 dan jika sabit kesalahan boleh didenda minimum RM5,000
dan maksimum RM30,000 bagi setiap pendatang atau penjara sehingga 12
bulan atau kedua-duanya.
Sumber : BERNAMA