Geng Samun Di Lrt Kedai Serbaneka Sekitar Cheras Tumpas
Kuala
Lumpur, 12 Nov - Dua kumpulan, masing-masing dipercayai aktif melakukan
samun di kawasan LRT dan kedai serbaneka 24 jam di sekitar daerah
Cheras berjaya ditumpaskan dengan penahanan empat lelaki, termasuk tiga
remaja.
Ketua
Polis Daerah Cheras ACP Mohan Singh Tara Singh berkata suspek yang
bergerak secara berpasangan itu ditumpaskan hasil Ops Cantas yang
dijalankan secara berterusan di sekitar daerah itu minggu lepas.
Beliau
berkata dua daripada suspek diberkas pada Sabtu di sekitar kawasan LRT
Sri Petaling setelah dilihat dalam keadaan mencurigakan ketika anggota
Cawangan Pencegahan Jenayah Bukit Jalil menjalankan rondaan, pada pukul
11.15 malam di kawasan itu.
"Hasil
pemeriksaan ke atas kedua-dua lelaki berusia 40 dan 18 tahun yang
berasal dari ibu negara itu mendapati seorang daripada mereka
menyelitkan sebilah pisau di bawah lengannya," katanya pada sidang
akhbar di sini, hari ini.
Mohan
Singh berkata geng kedua yang dianggotai dua remaja berusia 20 dan 17
tahun, ditahan dalam serbuan polis pada Ahad ketika sedang menyamun
sebuah kedai serbaneka 24 jam di Taman Connought.
"Kedua-dua
suspek yang menaiki sebuah motosikal telah berhenti di hadapan kedai
berkenaan kira-kira pukul 4.15 pagi sebelum pemboncengnya turun dan
masuk ke dalam kedai sambil mengacukan parang," katanya.
Beliau
berkata dalam serbuan itu, polis merampas sebilah parang yang
dipercayai digunakan untuk mengancam mangsa selain dua topi keledar dan
motosikal yang mereka gunakan.
"Serbuan
itu dijalankan selepas pasukan khas polis yang ditubuhkan bagi mengesan
suspek samun kedai serbaneka sebelum itu membuat pemerhatian sejak
pukul 3 pagi ke atas kedai terlibat," katanya.
Kumpulan itu dipercayai aktif menjalankan kegiatan mereka sejak empat bulan lepas, katanya.
Dengan
kedua-dua tangkapan itu, polis percaya telah menyelesaikan
sekurang-kurangnnya sembilan kes samun di sekitar Cheras melibatkan
kedai serbaneka yang beroperasi 24 jam dan di sekitar kawasan LRT.
Sumber : BERNAMA