Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Polis Tahan 132 Individu Terlibat Elemen Pengganas

Diterbitkan: 19 Oct 2015 3.59 PM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.47 AM
Sebanyak 132 individu ditahan kerana terlibat dengan elemen pengganas termasuk militan Negara Islam (IS) hasil kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan agensi perisikan antarabangsa.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/polis-tahan-132-individu-terlibat-elemen-pengganas
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 26/09/2026 01:58 MYT

Kuala Lumpur, 19 Okt - Sebanyak 132 individu ditahan kerana terlibat dengan elemen pengganas termasuk militan Negara Islam (IS) hasil kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan agensi perisikan antarabangsa.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata daripada jumlah itu, 123 individu ditangkap kerana terlibat dengan elemen IS yang kesemuanya telah dikenakan tindakan.

"Seramai 22 orang dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959, 38 orang dibebaskan, 48 orang sedang didakwa, 14 telah diusir keluar negara dan satu dalam siasatan," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata bagi membendung penularan ancaman kumpulan pengganas terutama IS, kerajaan melalui kementerian itu dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melaksanakan langkah berkaitan seperti kerjasama dari segi perkongsian maklumat dengan agensi perisikan luar negara khususnya negara ASEAN.

"Hasil perkongsian maklumat ini, polis membuat pemantauan rapi dan menjejaki mereka yang disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas tersebut," katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa tahap keselamatan negara berada dalam keadaan baik dan terkawal daripada ancaman pengganas di dalam dan luar negara.

Beliau berkata nama individu disyaki pengganas yang diperoleh hasil daripada perkongsian maklumat itu akan dikemukakan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk disenarai hitam dan dimasukkan ke dalam Senarai Syak bagi menyekat pergerakan di semua pintu masuk dan keluar di seluruh negara.

Ahmad Zahid berkata kerajaan juga sedang melaksanakan Sistem Saringan Awal Penumpang (APSS) bagi memastikan setiap warganegara asing dapat ditapis dengan lebih awal dan terperinci.

Beliau berkata seiring penguatkuasaan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) pada 1 Sept lepas, Kementerian Dalam Negeri bersama PDRM, Jabatan Penjara dan agensi berkaitan telah menggubal Modul Pemuliharan khusus bagi meneutralisasikan mana-mana individu yang ditahan kerana terlibat dengan aktiviti keganasan.

Menurutnya, kerajaan juga secara aktif terlibat dengan pelbagai mesyuarat multilateral bagi mencegah keganasan di peringkat antarabangsa termasuk Kebangkitan Radikalisasi dan Keganasan Melampau (SAMMRAVE).

Katanya, kerajaan juga akan menganjurkan Kuala Lumpur International Deradicalisation Conference (KLIDC) bagi menggariskan satu prosedur operasi standard (SOP) yang melibatkan negara ASEAN dan beberapa negara lain pada 25 dan 26 Jan tahun depan. - BERNAMA

ArtikelDiterbitkan 19 Oct 2015 3.59 PMDikemas kini 17 Jul 2026 11.47 AM