Pengedar Dadah Langgar Palang Tol Elak Ditangkap Polis
KUALA
LUMPUR, 4 Jun 2010 -- Seorang lelaki yang dipercayai pengedar dadah
melanggar palang tol dengan keretanya di Lebuhraya Karak awal pagi ini
dalam usahanya melarikan diri daripada polis.
Tindakan
lelaki berusia 27 tahun itu bagaimanapun gagal apabila akahirnya kereta
Proton Wira yang dipandunya berlanggar dengan sebuah kereta Proton
Iswara dan terbabas ke tepi jalan.
Ketua
Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Abdul Jalil Hassan berkata sebelum
kejadian kira-kira 6.15 pagi itu, dua buah kereta peronda polis dari Ibu
Pejabat Polis Daerah Gombak telah terserempak dengan kereta Proton Wira
tersebut yang berhenti di Hentian Rehat Karak, dalam keadaan
mencurigakan.
"Apabila
kereta peronda menghampiri kereta tersebut, pemandunya tiba-tiba
memecut laju sebelum melanggar palang tol plaza Gombak.
"Dia
terus dikejar sejauh 12 kilometer arah ke selatan di mana apabila tiba
di persimpangan Melawati, suspek terlanggar sebuah kereta yang dipandu
seorang lelaki bersama anaknya.
"Suspek terbabas dan berjaya ditahan polis," katanya kepada pemberita.
Abdul
Jalil berkata suspek mengalami kecederaan di kepala manakala lelaki dan
anaknya yang sedang dalam perjalanan ke sekolah turut mengalami
kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Ampang.
Beliau
berkata hasil pemeriksaan di dalam kereta suspek, polis menemui 41
paket heroin seberat 74 gram yang dianggarkan bernilai RM7,400 dan satu
paket syabu seberat 0.5 gram bernilai RM200 yang disembunyikan di bawah
tempat duduk.
"Suspek
yang didapati mempunyai dua rekod jenayah membabitkan curi kenderaan
dipercayai mengedar dadah untuk pasaran di sekitar Gombak," katanya.
Dalam
kes berasingan, taktik tiga pengedar dadah warga Indonesia menjual
dadah jenis syabu di dalam benang terbongkar apabila kedai runcit yang
disewa mereka di Taman Keramat Permai, Hulu Klang diserbu polis semalam.
Dalam
serbuan pukul 12.30 malam itu, polis merampas 45 paket plastik lutsinar
dadah syabu seberat 5.5 gram bernilai RM3,000 yang antaranya dimasukkan
di dalam gelung benang dan disorok di bawah almari.
"Ketiga-tiga
suspek dari Aceh itu menjalankan kegiatan mengedar dadah dengan
berselindung di sebalik perniagaan kedai runcit dengan menjual dadah
tersebut yang disorok di dalam gelung benang," katanya.
Beliau
berkata sepaket syabu tersebut dijual dengan harga RM50 hingga RM100
dan mereka mendapat punca bekalan daripada warga Aceh yang bergiat aktif
di kawasan Chow Kit.
"Pelanggan
mereka hanya perlu menyebut kata laluan iaitu 'hendak beli sebuku
benang' sebelum suspek menyelit syabu di dalam straw tersebut ke dalam
gelung benang," katanya.
Abdul
Jalil berkata kesemua suspek itu dipercayai telah aktif mengedar dadah
menggunakan modus operandi tersebut lebih kurang enam bulan dengan
mensasarkan kawasan Hulu Kelang, di mana pelanggannya 70 peratus terdiri
dari warga tempatan.
Katanya,
seorang daripada suspek yang berusia 41 tahun merupakan penduduk tetap
manakala dua lagi yang berusia 22 dan 45 tahun tidak mempunyai sebarang
dokumen pengenalan diri.
"Dalam
serbuan itu juga polis merampas 163 karton rokok seludup pelbagai
jenama antaranya Gudang Garam, Dunhill, Dji Sam Soe, Star Mild Losta
Masta dan Luffman American Blend bernilai RM7,000.
"Kesemua mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan dua dari mereka turut positif dadah jenis syabu," katanya.
Kesemua
suspek disiasat di bawah Seksyen 39(A)(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB)
1952 manakala suspek dalam kes pertama disiasat di bawah Seksyen 39B ADB
1952