Polis Skmm Bincang Selaras Tindakan Isu Pengguna Laman Sosi
Putrajaya,
18 Jun - Polis mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Komunikasi
dan Multimedia (SKMM) bagi menyelaras tindakan terhadap pengguna media
sosial yang didapati menghina Nabi Muhammad SAW dalam komen mereka.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata walaupun secara umumnya perkara itu
berada di bawah bidang kuasa SKMM, namun penyelarasan dibuat bagi
memudahkan polis mendakwa mereka yang terlibat mengikut akta tertentu.
Beliau
berkata ini kerana jika tindakan segera tidak diambil, komen yang
berbentuk menghina Nabi Muhammad SAW itu akan mencetuskan 'gangguan'
kepada agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.
Ahmad
Zahid berkata demikian dalam satu persidangan media selepas bertemu
Anggota Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Percetakan Al-Quran (LPPPQ)
serta Anggota Jawatankuasa Penyemakan dan Penilaian Teks Al-Quran
(Lujnah Tasheh) di sini.
Pada
pertemuan itu, beliau memutuskan untuk mempertingkat tanggungjawab
LPPPQ dan Lajnah sebagai penasihat berkaitan hal ehwal agama kepada KDN.
"Ini
kerana kita mahu menyelaras aspek perundangan yang dikuatkuasakan oleh
semua jabatan dan agensi di bawah KDN supaya turut selari dengan
undang-undang syariah sedia ada di peringkat Persekutuan dan juga
negeri," katanya.
Beliau
berkata dua badan itu juga diminta memberi input serta nasihat
berkaitan modul pendidikan agama kepada banduan Islam di seluruh negara
untukmembekalkan mereka dengan asas agama bagi memudahkan mereka
diterima masyarakat.
Ahmad
Zahid seterusnya berkata KDN masih mengesan beberapa pihak yang
mengimport Al-Quran yang dicetak di luar negara, yang belum di'tasheh'
ataudisahkan semua huruf oleh Lajnah Tasheh.
Beliau
berkata tanpa penilaian LPPPQ dan Lajnah Tasheh dari KDN, Al-Quran
cetakan luar negara dikhuatiri menampilkan ejaan tidak betul sekali gus
membawa maksud terjemahan yang salah.
Difahamkan
sejak awal tahun sehingga kini, 850 naskah Al-Quran cetakan luar negara
dirampas sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur
(KLIA), Pelabuhan Klang dan Johor Baharu kerana tidak mendapat kelulusan
KDN, dengan 80 peratus daripadanya dari Indonesia manakala yang lain
adalah dari Thailand.
Sementara
itu, merujuk khabar angin yang ditimbulkan beberapa blogger dan portal
berita berhubung pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
dengan pemimpin PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di Indonesia baru-baru ini,
Ahmad Zahid menafikannya.
"Setakat yang saya tahu, walaupun kami bertiga ada di sana (Indonesia), namun kami tidak bertemu.
"Saya
ingin nafikan pertemuan Najib dengan Anwar, atau kononnya saya ada
bersama dalam pertemuan itu," katanya sambil menambah ketiga-tiga mereka
mempunyai program berbeza semasa di Indonesia.
Portal
berita itu, antara lain, melaporkan bahawa difahamkan Zahid diberi
tanggungjawab untuk mengatur perjumpaan antara Najib dan Anwar semasa di
Indonesia.
Sumber : BERNAMA