Polis Selangor Tahan Lapan Lelaki Disyaki Terlibat Kes Rompa
SHAH ALAM, 15 Feb - Polis Selangor percaya dapat menyelesaikan kes
samun dan rogol di Lembah Klang sejak tahun lepas dengan penahanan
lapan lelaki dalam beberapa siri serbuan di sekitar Kota Damansara dekat
sini bermula awal minggu ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata tiga suspek berusia antara 23 hingga 27 tahun diberkas di sebuah pusat karaoke Kota Damansara Isnin lepas pada 11.45 malam.
Hasil
pemeriksaan dalam kenderaan Toyota Wish yang dinaiki suspek, polis
menemui pelbagai senjata dan peralatan merompak seperti parang, pisau,
pedang samurai, kayu pemukul bola lisut, topeng muka, topi dan alat
membuka kunci kereta, katanya pada sidang media di sini hari ini.
Toyota Wish itu dilaporkan hilang di Kampung Melayu Subang dekat sini pada tahun ini, katanya.
Serbuan
ke atas pusat karaoke itu dibuat ekoran satu kejadian samun melibatkan
empat suspek bertopi dan bertopeng di sebuah hotel di Sungai Buloh pada
1.40 petang, 9 Feb lepas.
Dalam
kejadian itu, salah seorang suspek telah meletakkan parang di leher
seorang lelaki penjaga kaunter hotel berkenaan sebelum melarikan wang
tunai RM1,000 dan barangan peribadi mangsa.
"Berdasarkan
risikan, polis melakukan tangkapan pertama dan hasil soal siasat, tiga
suspek lagi ditahan di depan sebuah kedai di Kota Damansara pada Selasa
lalu pada 12.30 tengah malam.
"Ketiga-tiga
suspek berusia 25 hingga 27 tahun ini didapati positif dadah
methamphetamine," katanya. Mohd Adnan berkata dalam serbuan seterusnya,
polis menahan dua suspek berusia 31 dan 27 tahun masing-masing di sebuah
rumah di Kampung Melayu Tambahan Subang dan Kota Damansara kelmarin dan
semalam.
Beliau
berkata salah seorang daripada suspek merupakan pegawai bank dan ada di
antara suspek itu yang mempunyai rekod jenayah seperti samun, seksual
dan dadah.
"Kumpulan
ini juga disyaki terlibat dalam satu kes samun dan rogol seorang wanita
di Gombak baru-baru ini. Dalam kes itu, tiga suspek telah menarik
mangsa keluar kereta dan membawa ke satu lokasi sebelum merogolnya dan
melarikan wang tunai RM1,200," katanya.
Beliau
berkata modus operandi kumpulan itu ialah melakukan jenayah dengan
memakai topi serta topeng muka dan Menggunakan senjata ketika mangsa
berada bersendirian.
Kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan, katanya.- BERNAMA