Polis Selangor Tahan 10 Anggota Sindiket Dadah Rampas Heroi
Shah
Alam, 3 Dis - Polis Selangor menahan 10 orang termasuk seorang wanita
dan merampas 37kg dadah disyaki heroin bernilai RM1.38 juta selepas
menyerbu sebuah rumah yang digunakan untuk memproses dadah itu di Ara
Damansara pada Khamis lepas.
Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata ketika serbuan itu, lima lelaki sedang memproses dadah.
"Hasil
siasatan lanjut, polis menahan empat lelaki dan seorang wanita di
sekitar Puchong, Cheras dan Sentul keesokannya," katanya dalam sidang
media di sini hari ini.
Dua
daripada suspek lelaki merupakan warga India manakala suspek yang lain
warga tempatan, mereka berusia antara 22 dan 50 tahun dan tidak
mempunyai pekerjaan tetap.
"Lima
lelaki tempatan itu memiliki rekod jenayah lampau termasuk kes dadah
dan kesemua suspek ditahan reman sehingga Khamis ini untuk siasatan
lanjut," katanya.
Mohd
Shukri berkata selain dadah, polis juga merampas peralatan, bahan dan
ramuan menghasilkan heroin seperti serbuk kafein, serbuk eno, pati
perasa pandan, ibu heroin serta menyita wang tunai, barang kes dan
kenderaan bernilai RM505,181.
Beliau berkata sindiket dadah itu beroperasi kira-kira tiga bulan dan dadah itu adalah bagi pasaran Lembah Klang.
Mohd
Shukri juga memberitahu pemberita, polis sedang memburu beberapa suspek
yang terlibat dalam kes kehilangan barangan tembaga seberat 100 tan
bernilai RM2.3 juta baru-baru ini di Klang.
Beliau
juga mengesahkan penahanan dua anggota polis berumur 29 dan 31 tahun
yang memainkan peranan sebagai 'pemudah cara' dalam jenayah itu pada 23
Nov lepas.
Ditanya
perkembangan kes pembunuhan pegawai Ambank Norazita Abu Talip, beliau
berkata suspek dikenali sebagai Joemar masih belum dapat dikesan.
Sumber : BERNAMA