Polis Selamatkan Lima Lelaki Myanmar Jadi Tebusan Di Bukit T
Kuala
Lumpur, 5 Nov - Tindakan pantas seorang lelaki Myanmar membuat laporan
polis selepas menyedari adiknya diculik, dapat menyelamatkan empat lagi
lelaki yang menjadi mangsa tebusan di sebuah bilik di Berjaya Hills
Resort, Bukit Tinggi, dekat sini, awal hari ini.
Ketua
Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah berkata polis juga dapat
menahan suspek tiga jam selepas menyelamatkan kesemua lelaki warga
Myanmar keturunan Rohingya yang berumur 16 hingga 40 tahun itu.
"Pada
Ahad lepas, lelaki itu membuat laporan polis selepas menerima panggilan
telefon mengarahkannya memasukkan wang tebusan RM11,000 bagi
membebaskan adiknya yang diculik di Rawang ketika keluar mengirimkan
wang kepada keluarga mereka di kampung," katanya ketika dihubungi
Bernama hari ini.
Bertindak
atas laporan itu, beliau berkata pada kira-kira 1 pagi ini, polis
menyerbu sebuah bilik di pusat peranginan itu sebelum menemui kesemua
mangsa yang bekerja sebagai buruh binaan dalam keadaan diikat dengan
rantai besi.
Suspek menggunakan bilik yang diberikan majikannya untuk mengurung mangsa.
"Siasatan
mendapati tiga daripada mereka datang dari Johor dan seorang
masing-masing dari Kemaman, Terengganu dan Rawang, Selangor," katanya.
Abdul
Rahim berkata berdasarkan maklumat mangsa, polis menahan suspek yang
bekerja di bahagian penyenggaraan di pusat peranginan itu, di Shah Alam
tiga jam kemudian. Polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 3 (1) Akta
Culik 1961.
Sumber : BERNAMA