Polis Sabah Berkas Lima Suspek Rampas Dadah Wang Tunai Ke
Kota
Kinabalu, 7 Nov - Polis Sabah memberkas lima lelaki dan merampas 3.9
kilogram dadah jenis syabu bernilai RM1 juta serta wang tunai RM465,000
dan sepucuk pistol dalam serbuan di sebuah bengkel kenderaan di Inanam,
petang semalam.
Pesuruhjaya
Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata dalam serbuan pukul 3 petang di
premis dua tingkat di Lorong Mangga 1, BDC Industrial Estate, Jalan
Kolombong itu polis turut merampas lapan kereta mewah yang dipercayai
hasil jualan dadah.
Kesemua
suspek rakyat tempatan berusia antara 28 dan 41 tahun itu diberkas di
premis berkenaan dan tiga daripada mereka turut positif dadah, katanya
dalam sidang media di sini hari ini.
Hamza berkata polis percaya suspek merupakan anggota sindiket dadah tempatan yang menerima bekalan dari luar negara.
"Dadah yang dirampas ini dipercayai untuk pasaran tempatan," katanya.
Mengulas
serbuan itu, Hamza berkata polis terpaksa memecahkan pintu masuk utama
premis selepas penghuni di dalamnya enggan membuka pintu apabila diminta
berbuat demikian oleh polis.
Kesemua
dadah terbabit ditemui di dalam bungkusan plastik dan juga karung
kanvas di tingkat atas dan bawah premis, manakala pistol itu bersama 12
butir peluru getah ditemui ketika pemeriksaan di sebuah bilik di tingkat
atas yang turut menempatkan sebuah peti simpanan mengandungi wang tunai
RM465,000, katanya.
Semua
suspek ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta
Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit
kesalahan.
Katanya dengan kes terkini itu, jumlah dadah jenis syabu yang berjaya dirampas oleh polis Sabah setakat ini ialah 87.763 kg.
Sumber : BERNAMA