Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Polis Rampas Dadah Jenis Syabu Dengan Nilai Pasaran Sehingga

Diterbitkan: 16 Jun 2014 3.35 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.46 AM
Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah oleh satu pasangan warga asing apabila merampas enam bungkusan besar plastik lutsinar disyaki syabu seberat lebih 6kg, dengan nilai pasaran mencecah..
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/polis-rampas-dadah-jenis-syabu-dengan-nilai-pasaran-sehingga
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 25/09/2026 06:56 MYT
KUALA LUMPUR, 21 Februari 2011 (Bernama)

Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah oleh satu pasangan warga asing apabila merampas enam bungkusan besar plastik lutsinar disyaki syabu seberat lebih 6kg, dengan nilai pasaran mencecah sehingga RM1.1 juta.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulkifli Abdullah berkata dalam serbuan oleh sepasukan polis bahagian Narkotik Kuala Lumpur pada 17 Feb lepas di sebuah hotel mewah Jalan Ampang itu, seorang lelaki Iran berusia 36 tahun dan wanita warga Maldova, 25 tahun turut ditahan.

"Dalam serbuan kira-kira pukul 5 petang itu juga, kita merampas wang tunai AS$4,500, wang tunai dalam Rial berjumlah 137,000, RM75 dan tiga buah telefon bimbit pelbagai jenama daripada pasangan terbabit," katanya.

Beliau berkata pasangan itu yang disahkan negatif hasil ujian air kencing, direman sehingga Khamis untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Dengan tangkapan ini, pihak polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah jenis syabu yang didalangi warganegara Iran yang bergiat aktif di sekitar Lembah Klang sejak beberapa bulan lalu.

"Pihak polis masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti individu-individu lain yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah ini dan punca bekalan dadah yang diperoleh," katanya.

Sementara itu dalam kes berasingan, tindakan seorang wanita warga Afrika Barat yang berbogel di hadapan sebuah restoran di Cheras kira-kira pukul 1.10 petang, 7 Feb lepas membongkar satu kegiatan pengedaran dadah oleh satu sindiket warganegara itu.

Zulkifli berkata hasil siasatan polis yang membawa wanita berusia 22 tahun itu ke hospital menemui 65 kapsul disyaki dadah jenis syabu seberat 927 gram, yang dianggarkan bernilai RM180,000 di dalam perut wanita terbabit yang dikeluarkan melalui najis.

"Kita percaya tindakan wanita itu berbogel adalah kesan daripada menelan dadah-dadah tersebut. Wanita itu dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah oleh warganya sejak beberapa bulan yang lepas dan aktif di sekitar Lembah Klang," katanya.

Katanya, siasatan lanjut untuk mencari saki-baki kumpulan ini sedang dijalankan.

Beliau berkata wanita terbabit ditahan reman tujuh hari yang berakhir hari ini, dan dijangka disambung reman sehingga 28 Feb depan.
ArtikelDiterbitkan 16 Jun 2014 3.35 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.46 AM