Polis Rampas 94 Cek Bernilai Rm1 6 Juta Di Premis Ah Long
GEORGE
TOWN, 21 Jan (Bernama) -- Polis menyerbu sebuah premis perniagaan di
Seberang Jaya dekat sini yang disyaki menjalankan aktiviti ah long dan
merampas 94 keping cek bernilai kira-kira RM1.6 juta, Isnin lepas.
Timbalan
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata dalam serbuan
pada pukul 5 petang itu, polis turut menahan seorang lelaki berusia 23
tahun dan merampas wang tunai sebanyak RM2,781.
"Siasatan
awal mendapati sindiket pemberi pinjaman wang secara haram itu
menjalankan kegiatan mereka di rumah terbabit dengan memberikan pinjaman
antara RM1,000 hingga RM300,000," katanya pada sidang akhbar di sini
Jumaat.
Beliau
berkata dalam operasi 'Ops Vulture' itu, polis turut merampas pelbagai
barangan, antaranya beberapa komputer riba, alat pencetak, telefon
bimbit, salinan kad pengenalan peminjam, buku catatan dan beberapa fail
yang mengandungi maklumat peminjam.
Sementara
itu, Abdul Rahim berkata polis menahan tiga lelaki Mynmar dan merampas
3,711 keping VCD dan DVD filem Myanmar bernilai RM50,000 dalam serbuan
di sebuah rumah yang dijadikan tempat memproses DVD di Bukit Mertajam
dekat sini Rabu lepas.
"Semasa
serbuan tiga lelaki yang telah tamat tempoh visa yang berusia 20 hingga
35 tahun itu sedang memproses DVD dalam rumah dua tingkat itu untuk
pasaran tempatan," katanya.
Beliau
berkata dalam serbuan itu, polis turut merampas pelbagai barangan
termasuk televisyen, pembesar suara, pencetak DVD, papan kekunci, botol
dakwat, 5,000 keping poster VCD dan DVD filem Mynmar.
Sindiket itu dipercayai telah beroperasi sejak sebulan lepas, katanya.
Dalam
kejadian berasingan, Abdul Rahim berkata seorang lelaki berusia 23
tahun disamun dan dipukul sekumpulan lelaki bersenjatakan parang di
kawasan tempat letak kereta flat Sungai Pinang, di sini kira-kira pukul
4.30 pagi ini.
"Kumpulan
lelaki terbabit melarikan wang tunai RM3,000, seutas rantai emas dan
sebuah kereta Proton Waja selepas memukul mangsa," katanya.
Beliau
berkata sehubungan itu polis menahan seorang lelaki berusia 23 tahun
dalam masa 30 minit selepas kejadian di kawasan perumahan di Jelutong di
sini dan menemui semula beg dokumen serta kereta, bagaimanapun wang
tunai tidak dapat dikesan.