Polis Rampas 363 Bungkus Air Ketum Bernilai Rm5 000
Kepala Batas, 20 Mei - Polis menumpaskan sindiket penghasilan dan penjualan air ketum menerusi Ops Tapis Khas selepas menyerbu dua buah rumah di daerah Seberang Perai Utara (SPU) semalam dan merampas 363 bungkus air ketum.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Abdul Rahman Ibrahim berkata bertindak hasil maklumat awam dan risikan, sepasukan polis menyerbu sebuah rumah di Teluk Air Tawar dekat sini pukul 12.20 ten...gah hari dan menahan seorang lelaki berumur 33 tahun.
"Hasil pemeriksaan di rumah berkenaan, polis menemui 13 bungkus plastik mengandungi air ketum dan sebuah tong plastik iaitu tempat menyimpan bungkusan air berkenaan.
"Siasatan awal mendapati lelaki itu adalah pemborong air ketum iaitu membeli daripada pihak yang menghasilkannya sebelum menjual kepada pembeli tetapnya di sekitar kawasan Teluk Air Tawar," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya susulan serbuan itu, polis menyerbu sebuah lagi rumah di Kuala Muda, di sini pada pukul 5 petang dan menahan dua lelaki berumur 38 dan 51 tahun.
Abdul Rahman berkata polis merampas 350 bungkusan plastik mengandungi air ketum yang dipercayai baharu sahaja diproses untuk dijual kepada lelaki pertama yang ditahan polis.
"Selain itu, kami turut merampas daun ketum yang belum diproses dan pelbagai peralatan untuk memasak air ketum antaranya dua tong gas, dua dapur memasak, dua periuk besar, alat penimbang serta dua tong plastik," katanya.
Katanya sindiket itu dipercayai beroperasi di Kuala Muda sejak beberapa minggu lepas dan mereka memperoleh bekalan daun ketum dari negeri-negeri di utara.
Beliau berkata anggaran harga pasaran bagi semua air ketum yang siap diproses itu bernilai RM5,000.
Tiga lelaki yang tidak mempunyai pekerjaan itu kini direman bagi membantu siasatan.- BERNAMA