Polis Rampas 34 000 Biji Pil Eramin 5
Georgetown
- 4 Jun 2009. Tiga lelaki dipercayai anggota satu sindiket pengedaran
dadah yang aktif di Pulau Pinang telah ditahan dalam tiga serbuan
berasingan di sekitar Bayan Lepas dan Teluk Kumbar pada malam Isnin dan
awal pagi Selasa lepas.
Dalam
Sidang Akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, YDH Dato'
Ayub Yaakob, Ketua Polis Negeri berkata, ketiga-tiga lelaki yang berumur
antara 20 dan 30 tahun itu ditahan berasingan dan polis turut merampas
sejumlah 34,000 biji pil Eramin 5 yang bernilai kira-kira RM680,000.
"Bertindak
atas maklumat risikan, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah
Narkotik Negeri berjaya menahan seorang lelaki di kawasan Queensbay
kira-kira pukul 10.30 malam pada hari Isnin. Hasil pemeriksaan, polis
menemui kira-kira 5,000 biji pil Eramin yang dibawa oleh lelaki itu,
dipercayai untuk dihantar kepada pelanggannya"
Berdasarkan
maklumat yang diterima dari lelaki itu, pasukan yang sama menyerbu
sebuah rumah di teluk Kumbar pada pukul 12 tengahmalam hari yang sama
dan berjaya menahan seorang lagi lelaki. Di rumah itu, pihak polis telah
merampas 10,250 biji pil Eramin 5 sebelum menyerbu sebuah rumah di
Bayan Lepas pada pukul 1.30 pagi Selasa dan menahan lelaki ketiga serta
merampas 18,750 biji pil Eramin 5.
Siasatan awal mendapati ketiga-tiga mereka tidak bekerja dan menjadi runner
sindiket pengedaran pil Eramin 5 yang dibawa masuk dari luar negara
melalui kargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL).