Polis Pulau Pinang Rampas Dadah Bernilai Rm2 Juta
George
Town, 7 Okt - Polis merampas dadah bernilai RM2 juta dan menahan tiga
suspek selepas membongkar kewujudan sebuah makmal memproses dadah di
Sungai Nibong di sini Jumaat lepas.
Ketua
Polis Negeri Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata dalam serbuan itu, polis
merampas 5.19 kilogram (kg) heroin, 60 kg kafein serta bahan kimia dan
peralatan memproses dadah.
"Polis
turut merampas sepucuk pistol bersama kelopak peluru. Walaupun tiada
suspek yang ditahan namun pihak polis telah mengenal pasti individu yang
terlibat dalam makmal pemprosesan itu," katanya kepada pemberita di
sini hari ini.
Abdul
Rahim juga berkata polis mematahkan dua cubaan menyeludup dadah selepas
menahan dua wanita warga asing yang dipercayai dijadikan keldai dadah
di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.
Beliau
berkata penyeludupan itu membabitkan seorang pelajar warga Malawi yang
berusia 17 tahun Sabtu lepas. Abdul Rahim berkata polis merampas 4.5 kg
syabu yang disembunyi di dalam bagasi pakaiannya.
"Pelajar
terbabit kali pertama tiba di Malaysia melalui penerbangan dari Malawi
yang transit di Singapura," katanya. Abdul Rahim berkata kes kedua
membabitkan seorang pekerja salun rambut dari India berumur 37 tahun
yang cuba menyeludup 3.1 kg syabu awal pagi tadi.
Beliau
berkata polis turut menyita US$500 dan 6,400 Rupee daripadanya yang
dianggarkan bernilai RM1,960. Kedua-duanya direman selama seminggu untuk
membantu siasatan.
Sementara
itu, beliau berkata dua suspek yang dipercayai anggota sindiket
pengedaran dadah ditahan di sebuah motel di Seberang Jaya, Ahad lepas
dan merampas 23 gram heroin, 28 gram syabu dan sepucuk pistol tiruan.
Kedua-duanya yang berumur lingkungan 30 hingga 35 tahun sedang direman, katanya.





Sumber : BERNAMA
Foto : HEA Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang