Polis Pahang Gempur Tiga Litar Mat Rempit Keluar 272 Saman
Kuantan,
7 Okt - Tiga lokasi yang menjadi litar Mat Rempit di sekitar Bandar
Pusat Jengka digempur polis Cawangan Trafik Kontinjen Pahang dalam Ops
Bersepadu Banteras Samseng Jalanan semalam.
Ketua
Polis Pahang Datuk Sharifuddin Abdul Ghani berkata antara lokasi yang
digempur ialah jalan di depan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus
Jengka, jalan di depan Hospital Jengka dan jalan di depan Balora
Mastika.
Beliau
berkata lokasi berkenaan menjadi tumpuan Mat Rempit terutama remaja
berusia lingkungan 14 hingga 21 tahun dari sekitar Jengka, termasuk
segelintir penuntut UiTM yang menyertainya setiap malam minggu dan cuti
umum.
Sharifuddin
berkata kegiatan merempit di lokasi itu biasanya bermula sekitar 11
malam hingga 1 pagi, dan kumpulan terbabit dilapor menjadikan dua stesen
minyak berhampiran sebagai tempat berkumpul.
"Dalam
ops bersepadu semalam, kita mengeluarkan 272 saman kepada pengguna
jalan raya atas pelbagai kesalahan, iaitu 186 saman membabitkan
motosikal, 84 untuk kereta dan dua melibatkan lain-lain kenderaan,"
katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sharifuddin
berkata selain merempit, penunggang dikesan tidak memakai topi keledar,
menunggang tanpa lesen dan menggunakan nombor pendaftaran tidak
mengikut spesifikasi.
Beliau berkata polis turut menahan seorang lelaki kerana menunggang motosikal yang dilaporkan dicuri di Klang, Selangor.
Katanya,
operasi seumpama itu akan diteruskan bagi membendung kegiatan merempit
yang menjadi antara penyumbang kes kemalangan maut di Pahang.
Beliau
berkata statistik kemalangan maut sepanjang Januari hingga September
tahun ini menunjukkan peningkatan daripada 367 kes bagi tempoh sama pada
2012 kepada 402 yang menyaksikan kematian tertinggi melibatkan
penunggang dan pembonceng motosikal.


Sumber : BERNAMA
Foto : HEA Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang