Polis Perak Tembak Mati Anggota Geng 04
Taiping,
24 Jan - Polis Perak menembak mati seorang anggota 'Geng 04', yang
terlibat kes samun bersenjata kenderaan jenis Toyota Hilux di Kampar
tahun lepas, dalam insiden berbalas tembakan di Lorong Berlian 2, Taman
Koperasi dekat Teluk Intan semalam.
Ketua
Polis Perak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata dalam kejadian 5
petang itu, pasukan Ops Cantas cuba menahan kereta yang dipandu S.
Sasikumar, 30, yang dilihat dalam keadaan mencurigakan di kawasan
Kampung Banjar.
"Bagaimanapun,
lelaki itu enggan menghentikan keretanya dan terus memecut ke arah
taman perumahan sebelum kenderaan itu terbabas. Ketika polis menghampiri
kereta itu, dia meluru keluar dan terus melepaskan beberapa das
tembakan ke arah polis," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis
Daerah Taiping hari ini.
Katanya
polis mempertahankan diri dengan membalas tembakan itu yang terkena
Sasikumar, menyebabkannya rebah dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Beliau
berkata polis menemui sepucuk pistol Norinco model 2139x19 daripada
lelaki itu, satu kelopak berisi lapan butir peluru hidup serta sebungkus
plastic berisi daun kering disyaki ganja.
Acryl Sani berkata lelaki itu mempunyai lima rekod jenayah lampau dengan dua kes dadah, tiga samun dan satu kes curi.
Menurutnya
dia melakukan jenayah itu bersama-sama dua lagi rakannya, namun seorang
daripada mereka ditembak mati dan seorang lagi masih dalam perbicaraan
di mahkamah.
"Pada
2.30 pagi, 19 Jan lepas, polis menemui seorang suspek itu mati dalam
sebuah kereta jenis Waja di Jalan Gula, Semanggol akibat ditembak dengan
enam das tembakan. Kita tidak pasti mengapa suspek di tembak," katanya.
Beliau
berkata kesemua suspek itu dipercayai terlibat dalam kes cubaan
menyamun kenderaan jenis Toyota Hilux sehingga menembak mangsa dan
anaknya yang berumur 13 tahun di sebuah rumah di Taman Sejahtera dekat
Kampar pada 14 Julai lepas.
Suspek
yang gagal mendapatkan kenderaan itu, kemudian melarikan diri dengan
kereta Proton Perdana sebelum menyamun pula kenderaan jenis sama di
Langkap, Teluk Intan.
"Polis
berjaya mengesan kereta Proton Perdana yang dinaiki suspek dan
mengejarnya sehingga terbabas. Seorang daripada mereka ditahan manakala
dua lagi melarikan diri," katanya.
Acryl Sani berkata polis masih menyiasat kes itu termasuk mengesan individu lain yang dipercayai terlibat dalam kumpulan itu.
Sumber : BERNAMA