Polis Patahkan Cubaan Seludup Dadah Bernilai Rm1 45 Juta
SHAH
ALAM, 3 Jun 2010 (Bernama) -- Polis mematahkan cubaan menyeludup 5.8
kilogram dadah jenis syabu bernilai RM1.45 juta apabila merampas bahan
larangan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), Sepang pada 28
dan 29 Mei lepas.
Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, ACP Nordin Kadir berkata
kedua-dua rampasan itu membabitkan modus operandi yang sama iaitu
menyembunyikan dadah yang dibungkus dalam plastik lutsinar pada lapisan
bawah bagasi yang dibawa.
Beliau
berkata dalam rampasan pertama pada 28 Mei lepas, polis menahan seorang
lelaki rakyat Iran berumur 24 tahun ketika sedang membawa sebuah bagasi
dan berada dalam keadaan mencurigakan.
"Sebaik
diperiksa satu bungkusan plastik lutsinar mengandungi syabu seberat
tiga kilogram bernilai RM750,000 ditemui tersorok di bahagian bawah beg
yang dilindungi dengan helaian baju," katanya kepada pemberita di sini.
Nordin
berkata suspek yang pertama kali datang ke negara ini ditahan reman
untuk siasatan mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan
pihaknya turut merampas sejumlah mata wang asing milik lelaki itu.
Dalam
rampasan seterusnya, beliau berkata polis memeriksa sebuah bagasi yang
tidak dituntut dan menemui dadah dipercayai syabu seberat 2.8 kilogram
bernilai RM700,000.
"Kami
percaya pemiliknya meninggalkan bagasi yang mengandungi dadah itu
kerana bimbang selepas mendapati kawasan berkenaan diawasi ketat oleh
pihak berkuasa," katanya.
Sehubungan itu, Nordin berkata polis sedang mengesan pemilik beg itu berdasarkan nombor siri pada bagasi berkenaan.