Artikel
Polis Pahang Berkas Lima Suspek Kes Edar Dadah
KUANTAN, 19 Jan (Bernama) -- Lima individu termasuk dua beradik dan sepasang suami isteri yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah di sekitar M...
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang Supt Yap Toon Khuan berkata dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Kampung Paya Ladang, Chenor, dekat Maran pada Sabtu lepas, polis menahan tiga lelaki dan menemui 31 paket plastik berisi dadah dipercayai heroin seberat 65 gram bernilai lebih RM4,000.
"Semasa serbuan 5.40 pagi itu, dua daripada suspek berada di ruang tamu dan seorang lagi menyorok di atas siling rumah berkenaan.
"Ketiga-tiga suspek cuba melarikan diri dan berlaku sedikit pergelutan bagaimanapun mereka berjaya ditangkap," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.
Beliau berkata, dua daripada suspek berkenaan yang berumur 22 dan 28 tahun merupakan adik beradik manakala seorang lagi rakan mereka berusia 28 tahun.
Dalam serbuan berasingan di sebuah rumah di Flet Taman Sri, Bukit Tinggi, Bentong pada 12 tengah hari Ahad lepas, polis berjaya menahan sepasang suami isteri.
Katanya polis terpaksa memecah masuk rumah berkenaan selepas suspek mengunci pintu sebaik menyedari kehadiran polis.
"Hasil pemeriksaan ke atas suspek, polis menemui syabu seberat 5.5 gram. Selain itu pemeriksaan lanjut, polis menemui dua paket disyaki heroin seberat 101.83 gram, dua ketulan ganja (154 gram), tiga keratan straw berisi serbuk syabu (2.32 gram) dan tujuh biji pil khayal dengan nilai anggaran keseluruhan RM13,005, yang dibuang oleh suspek ke bahagian bawah rumah flet itu," katanya.
Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati suspek lelaki yang berusia 41 tahun itu dipercayai menjalankan pengedaran dadah sejak penghujung 2008 di Bentong dan kawasan sekitarnya.
Semua suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan, katanya.