Polis P Pinang Tahan Tujuh Orang Rampas Dadah Bernilai Rm4
George
Town, 21 Nov - Polis memberkas tujuh suspek dan merampas dadah bernilai
RM480,000 serta sepucuk pistol bersama 50 butir peluru dalam dua
serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang dan Perak
semalam.
Ketua
Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata dalam serbuan yang
dilakukan serentak pada pukul 1 petang di Bukit Tambun dan Simpang Ampat
itu, polis juga merampas sebuah kereta, wang tunai berjumlah RM215,000
serta barangan kemas bernilai RM260,000.
Dalam
serbuan di sebuah rumah di Bukit Tambun, polis memberkas tiga lelaki
dan di Simpang Ampat pula, empat suspek termasuk dua wanita ditahan,
katanya dalam sidang media, di sini hari ini. Katanya dadah yang
dirampas membabitkan 1.5 kilogram heroin, 1.071 kg syabu dan 60 biji pil
eramin 5.
Kesemua
suspek yang berusia 25 hingga 52 tahun itu kini direman sehingga Rabu
depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya,
katanya.
Katanya
kes senjata api pula disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api
(Penalti Lebih Berat) dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang
memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan tidak kurang enam
sebatan jika disabitkan.
Abdul
Rahim berkata polis juga menahan seorang lelaki berusia 35 tahun dalam
serbuan di sebuah rumah di Nibong Tebal pada pukul 10 pagi tadi.
Dalam
serbuan itu polis merampas 67 gram dadah jenis ganja, selaras senapang
angin, 370 biji bebola besi dan pisau belati serta pisau panjang
daripada suspek, katanya.
Katanya
kes akan disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan
Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 serta Seksyen 6 Akta Bahan-bahan Kakisan
dan Letupan 1958.
Sumber : BERNAMA