Polis Muar Tahan Pasangan Kekasih Rampas Pistol Dan 24 Peluru
Muar, 12 Ogos- Polis menahan sepasang kekasih dan merampas sepucuk pistol Revolver .38 bersama 24 peluru hidup daripada mereka dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Jalan Haji Jaib, Bakri di sini pada Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Muar ACP Azman Ayob berkata dalam serbuan kira-kira 1 tengah hari itu, polis turut menemui dadah syabu seberat 2.96 gram (gm) dan ganja seberat 0.87 gm daripada mereka.
"Senjata api itu ditemui dalam beg pinggang yang dipakai seorang daripada suspek," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah ini di sini, hari ini.
Beliau berkata suspek wanita berumur 33 tahun berasal dari sini manakala suspek lelaki berumur 34 tahun berasal dari Kulaijaya, Johor.
Hasil pemeriksaan mendapati suspek wanita mempunyai satu rekod kesalahan lampau manakala suspek lelaki tiada rekod kesalahan lampau.
Azman berkata ujian air kencing mereka didapati positif dadah jenis methamphetamine dan mereka ditahan reman empat hari sehingga hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 (penalti lebih berat).
Sementara itu, seramai 151 wanita Vietnam, Thailand, China, Indonesia dan dan tempatan ditahan di daerah ini menerusi 51 serbuan Ops Noda sejak 1 Jan hingga Isnin lepas.
Dalam serbuan itu, polis turut menahan 26 penjaga premis yang kesemuanya lelaki tempatan.
Suspek berusia antara 25 hingga 40 tahun ditahan kerana dipercayai terbabit dalam aktiviti tidak bermoral.- BERNAMA