Polis Melaka Tahan Dua Tukang Urut Warga China
Melaka, 2 Okt - Polis Melaka menahan dua wanita tukang urut warga China kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 di sebuah pusat refleksologi di Melaka Raya di sini, awal pagi tadi.
Pegawai Turus Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, ASP Azahar Abdul Rahim berkata, wanita berusia 34 dan 37 tahun itu masing-masing ditahan kerana memiliki pas lawatan atau permit kerja yang
telah tamat tempoh selain menyalahguna pas lawatan sosial.
Beliau berkata, seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun dipercayai penjaga premis tersebut turut ditahan kerana disyaki menggaji warga asing secara tidak sah.
"Kita juga melakukan pemeriksaan ke atas lima lagi wanita warga China yang juga tukang urut di pusat itu tetapi dibebaskan kerana tidak melakukan apa-apa kesalahan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata kedua-dua wanita berkenaan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Melaka untuk tindakan lanjut.
- BERNAMA