Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

Polis Marin Tubuh Markas Khas Bagi Unit Selam Unit Gempur

Published: 17 Dec 2014 7.21 AM Updated: 17 Jul 2026 11.47 AM
Johor Baharu, 17 Dis - Pasukan Polis Marin (PPM) akan menubuhkan markas khas bagi menempatkan Unit Selam dan Unit Gempur Marin (Ungerin) di Pulau Indah, Selangor dalam usaha memantapkan operasinya.
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/polis-marin-tubuh-markas-khas-bagi-unit-selam-unit-gempur
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 26/09/2026 04:04 MYT
Johor Baharu, 17 Dis - Pasukan Polis Marin (PPM) akan menubuhkan markas khas bagi menempatkan Unit Selam dan Unit Gempur Marin (Ungerin) di Pulau Indah, Selangor dalam usaha memantapkan operasinya.

Komander PPM Datuk Abd Aziz Yusof berkata markas itu, yang akan diwujudkan dalam masa terdekat, dapat memudahkan anggota pasukan berkenaan menjalani latihan kepakaran dan pelbagai aktiviti berkaitan.

"Selain mewujudkan markas itu, kita juga akan meningkatkan keanggotaan dalam kedua-dua unit itu, aset dan kelengkapan lain memandangkan ketika ini hanya terdapat 60 anggota Unit Selam dan 60 anggota Ungerin di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perbarisan Penyematan Lencana Penyelam Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada 16 pegawai dan anggota PPM Wilayah Dua di sini, hari ini.

Abd Aziz berkata Unit Selam dan Ungerin amat penting bagi PPM dalam menjalankan operasi khususnya apabila membabitkan situasi tertentu seperti menyelamatkan mangsa lemas dan mencari bahan bukti.

Dalam perkembangan lain, Abd Aziz berkata rampasan yang dilakukan oleh PPM sepanjang tahun ini mencatatkan peningkatan kira-kira 400 peratus dengan nilai berjumlah RM170 juta.

"Pada 2013, nilai rampasan PPM adalah sebanyak RM43 juta dan jumlah ini berjaya ditingkatkan tahun ini iaitu setakat hari ini, nilai rampasan sebanyak RM170 juta," katanya.

Beliau berkata antara penyumbang utama kepada peningkatan itu adalah kejayaan menangani penyelewengan petrol bersubsidi, pembalakan haram serta penyeludupan barang kawalan seperti rokok dan minuman keras.- BERNAMA
ArticlePublished 17 Dec 2014 7.21 AMUpdated 17 Jul 2026 11.47 AM