Polis Marin Rampas 110 Kotak Mercun Bernilai Rm66 000
PELABUHAN
KLANG, 19 Okt (Bernama) -- Pasukan Gerakan Marin Pelabuhan Klang
merampas 110 kotak mercun buatan China bernilai RM66,000 dalam satu
serbuan di sebuah rumah di Kapar, Klang malam semalam.
Pegawai
Memerintah Pasukan Gerakan Marin Pelabuhan Klang DSP Norzaid Muhammad
Said berkata hasil maklumat orang ramai sepasukan enam polis marin di
ketuai Cif Inspektor Sarebjit Singh menyerbu sebuah rumah teres dua
tingkat di Taman Saga, Kapar pada pukul 9.20 malam.
Norzaid
berkata tiada tangkapan dibuat dan mercun-mercun itu diletakkan di
dalam sebuah bilik dan keadaan keseluruhan rumah itu berselerak seperti
tidak dihuni oleh sesiapa.
"Kita akan kesan pemilik rumah itu bagi siasatan lanjut," katanya lagi.
Kesemua
mercun yang dirampas itu telah dibawa ke markas operasi pasukan polis
marin dan kes ini disiasat di bawah Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan
dan Senjata Berbahaya 1958, kata beliau.
Beliau
berkata pihaknya sedang menyiasat dari mana mercun-mercun itu dibawa
masuk dan dipercayai untuk dijual sempena beberapa perayaan pada
penghujung tahun ini seperti Deepavali, Krismas dan Hari Tahun Baru.
Norzaid
juga berkata setakat 15 Oktober tahun ini pihaknya telah menahan 244
orang pendatang asing tanpa izin dari India, Indonesia, Bangladesh,
Afghanistan dan Nigeria.