Makmal Terbesar Lumpuh Dadah Bernilai Rm20 Juta Dirampas
SEREMBAN,
24 Okt (Bernama) -- Dua hari selepas membongkar sebuah makmal dadah di
George Town, Pulau Pinang, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekali lagi
mencatatkan kejayaan apabila melumpuhkan sebuah lagi makmal dengan
rampasan dadah terbesar bernilai RM20 juta di Seremban 2, semalam.
Serbuan
yang dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik
(JSJN) Bukit Aman pada pukul 10.45 pagi itu menyaksikan 318.4 kilogram
dadah jenis eramin 5 yang siap untuk pasaran dirampas dan tiga lelaki
ditahan.
Bercakap
pada sidang media di sini hari ini, Timbalan Pengarah 1 JSJN Bukit Aman
Datuk Othman Harun berkata makmal itu yang lengkap dengan peralatan
memproses dadah adalah yang terbesar diserbu PDRM tahun ini.
"Dua
lelaki berusia 23 dan 40 tahun ditahan di makmal yang terletak di
premis rumah kedai di Taman Oakland itu, manakala siasatan awal membawa
kepada penahanan seorang lagi lelaki dipercayai ketua mereka di Lukut,"
katanya.
Beliau
berkata pembongkaran terbaru itu juga mendedahkan aktiviti memproses
dadah kini dipelopori warga tempatan yang mungkin berpunca daripada
kesukaran menyeludup masuk dadah ke negara ini sekarang.
"Jika
dahulu warganegara asing menjadi pelopor. Di Johor Baharu pada tahun
2008 misalnya rakyat Taiwan menjadi dalang dan kemudian pada tahun 2009
di Pulau Pinang, rakyat Indonesia menjadi ketuanya," katanya.
Pihak
terbabit juga kata beliau, mempunyai pengetahuan untuk memproses dadah
selain akses mendapatkan bahan mentah dan mesin yang sememangnya
tersedia dalam negara.
"Kita
akan menyiasat jika kumpulan ini berselindung di sebalik nama syarikat
farmasi untuk membeli bahan dan mesin untuk membentuk dadah ini menjadi
tablet dan kemudian membungkusnya," katanya.
Mengulas
lanjut, Othman berkata salah seorang lelaki yang ditahan di makmal
dadah tersebut didapati mempunyai kelulusan dalam bidang kejuruteraan
mekanikal.
Katanya polis juga percaya dadah itu adalah untuk edaran domestik sahaja.
Bernama
difahamkan permintaan untuk eramin 5 sangat tinggi kerana harganya
lebih murah berbanding syabu, iaitu hanya antara RM12 dan RM15 sebiji,
atau RM100 bagi setiap papan yang mempunyai 10 biji pil.
Syabu pula dijual pada harga RM200 satu tiub, dan kandungan utama kedua-dua jenis dadah ini adalah heroin.
Kelmarin
PDRM membongkar kegiatan memproses dadah jenis heroin di sebuah
kondominium di George Town dan menangkap dua lelaki dengan nilai
rampasan sekitar RM1 juta.