Polis Kontinjen Perlis Terima 14 Kereta Peronda Dan Lapan Motosikal Baharu
Kangar, 20 Nov- Polis Kontinjen (IPK) Perlis menerima 14 kereta peronda baharu jenis Proton Inspira 2.0A dan lapan motosikal Honda CBR 250R untuk Unit Rondaan Bermotosikal (URB).
Ketua Polis Perlis, SAC Shafie Ismail berkata kereta berkenaan bagi menggantikan kereta peronda lama akan diagihkan kepada Ibu Pejabat Daerah Kangar, Padang Besar dan Arau manakala motosikal adalah tambahan untuk URB Balai Polis Beseri.
"Saya berharap kenderaan-kenderaan baharu ini akan meningkatkan keberkesanan anggota-anggota kami memberi perkhidmatan kepada masyarakat.
Pencegahan jenayah bagaimanapun lebih berkesan apabila masyarakat bersama-sama membantu polis," katanya selepas melancarkan kereta dan motosikal baharu itu di perkarangan IPK Perlis di sini, hari ini.
Dalam hubungan itu Shafie meminta masyarakat meningkatkan tahap keselamatan dan penjagaan harta benda masing-masing bagi menutup ruang kepada penjenayah mengambil kesempatan daripada kelalaian mereka.- BERNAMA