Polis Kelantan Rampas Syabu Bernilai Rm1 35 Juta
Kota
Bharu, 10 Nov - Polis Kelantan merampas syabu seberat 5.4 kilogram
bernilai RM1.35 juta, yang terbesar di negeri ini tahun ini, selepas
menahan seorang 'keldai dadah' wanita warga Vietnam di Lapangan Terbang
Sultan Ismail Petra di sini, Jumaat lepas.
Ketua
Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata dalam kejadian
12.25 tengah hari itu, suspek 48 tahun itu ditahan anggota Jabatan
Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK)
Kelantan selepas tiba dari New Delhi, India.
"Dia
dilihat dalam keadaan mencurigakan. Hasil pemeriksaan terhadap beg
suspek, polis menemui 54 keping kain renda dan apabila dibuka kepingan
kain itu, kita menemui serbuk berwarna putih seperti garam yang disyaki
dadah jenis syabu," katanya pada sidang media di IPK Kelantan di sini
hari ini.
Jalaluddin
berkata 100 gram syabu disembunyikan dalam setiap keping kain renda itu
dan setiap 5 gram dadah itu dijual dengan harga RM1,800 di pasaran
gelap.
Beliau
tidak menolak kegiatan penyeludupan itu dilakukan sindiket dadah
antarabangsa yang menyasarkan negara ini sebagai lokasi menjual dadah.
"Sindiket
dadah itu juga mengkaji kelemahan-kelemahan yang ada di setiap lapangan
terbang di seluruh dunia sebelum menyeludup dadah masuk ke sesebuah
negara.
"Oleh
itu, di bawah Ops Cantas Khas Dadah, kita akan mempertingkat kawalan ke
atas semua pintu masuk dan sempadan bagi mengekang kemasukan barang
terlarang ke dalam negara ini," katanya.
Jalaluddin
berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952
yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.
Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan.
Sumber : BERNAMA