Polis Johor Bekerjasama Banteras Sindiket Jual Bayi
Muar,
23 Feb - Polis Johor akan bekerjasama dengan polis Pulau Pinang bagi
membantu siasatan kes pemerdagangan manusia berikutan penemuan semula 22
orang bayi dan kanak-kanak di beberapa buah negeri termasuk dari negeri
ini.
Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata sebelum ini polis Johor juga turut membantu membuat beberapa tangkapan mereka yang disyaki dalang dalam sindiket menjual bayi dan kanak-kanak di Johor.
"Malah,
kita juga pernah membuat beberapa tangkapan berhubung kes tersebut yang
turut membabitkan seorang doktor pada tahun lalu," katanya kepada
pemberita selepas menghadiri perhimpunan memperingati peristiwa serangan
Balai Polis Bukit Kepong di perkarangan pondok polis itu, di sini hari
ini.
Katanya
walaupun berniat baik, tetapi perbuatan membeli anak angkat daripada
sindiket tertentu adalah salah di sisi undang-undang.
"Sepatutnya
mereka boleh mendapatkan anak angkat melalui proses yang sah di sisi
undang-undang, bukan bertindak mendapatkannya daripada aktiviti
pemerdagangan manusia," katanya. - BERNAMA