Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Pasukan Marin Johor Patah Cubaan Seludup Keluar Pendatang

Diterbitkan: 17 Jun 2014 2.10 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.47 AM
Johor Bharu, 24 Dis - Pasukan Marin Wilayah Dua Johor berjaya mematahkan dua cubaan menyeludup keluar pendatang tanpa izin dengan menahan 58 orang warga Indonesia dalam Ops Cantas Khas (Perairan) di P..
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/pasukan-marin-johor-patah-cubaan-seludup-keluar-pendatang
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 24/09/2026 19:21 MYT

Johor Bharu, 24 Dis - Pasukan Marin Wilayah Dua Johor berjaya mematahkan dua cubaan menyeludup keluar pendatang tanpa izin dengan menahan 58 orang warga Indonesia dalam Ops Cantas Khas (Perairan) di Pantai Batu Layar, Sungai Rengit dan Jeti Terminal Feri Tanjung Belungkor, Kota Tingi semalam.

Timbalan Komander pasukan Supt N.Kalai Chelcan berkata dalam serbuan pertama kira-kira pukul 8 malam itu, tiga anggota dari Markas Taktikal Pasukan Polis Marin Pengerang, Kota Tinggi dengan dibantu enam anggota Rela telah menyerbu sekumpulan pendatang tanpa izin yang ketika itu berkumpul di Pantai Batu Layar, Sungai Rengit.

"Mereka ketika itu dipercayai menunggu bot pancung untuk pulang ke Indonesia dan sebaik menyedari kehadiran polis, mereka melarikan diri ke arah hutan berhampiran, namun tujuh daripada mereka berjaya ditahan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati ketujuh-tujuh lelaki yang ditahan berumur 20 hingga 32 tahun itu, tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah dan mereka kemudian dibawa ke Balai Polis Bandar Penawar untuk tindakan lanjut.

Sementara dalam serbuan kedua di Jeti Terminal Feri Tanjung Belungkor, Kota Tinggi kira-kira jam 11.30 malam, sebanyak 50 pendatang tanpa izin dan seorang kapten kapal, mereka berumur antara 15 hingga 51 tahun, ditahan ketika sedang bersedia belayar ke Indonesia.

"Bertindak atas maklumat sepasukan sembilan Polis Marin dari unit yang sama dengan diketuai seorang pegawai dan dibantu oleh bot ronda PSC 29 enam anggota Rela, kami telah menahan sebuah feri yang bersedia untuk berlepas ke Indonesia.

"Pemeriksaan mendapati feri tersebut membawa 50 penumpang yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah atau pas lawatan tamat tempoh, sehubungan itu kapten kapal berkenaan dan kesemua pendatang tanpa izin terbabit ditahan dan dibawa balik ke Balai Polis Pengerang untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Kes disiasat mengikut Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran 2007.

Kalai berkata Polis Marin amat komited dalam membanteras kesalahan yang boleh menggugat kedaulatan negara dan akan terus meningkatkan usaha untuk memastikan perairan negara bebas daripada unsur-unsur kesalahan jenayah.

Beliau turut mengalu–alukan kerjasama orang awam dalam menyalurkan maklumat mengenai apa–apa juga kegiatan yang menyalahi undang–undang khususnya di kawasan pesisir pantai. Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Dua (2) Johor di talian 07–237 2222 atau 07–237 6122. 

Sumber : BERNAMA

ArtikelDiterbitkan 17 Jun 2014 2.10 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.47 AM