Polis Jamin Siasatan Telus
Kuala Lumpur - Ketua Polis Negara Tan Sri Musa bin Tan Sri Haji Hassan memberi jaminan pihaknya tidak akan menyembunyikan sebarang fakta berhubung siasatan insiden seorang remaja, Aminulrasyid Amzah, 15, yang mati ditembak polis di Seksyen 11, Shah Alam Isnin lalu.
"Kami tidak sembunyikan apa-apa… kita akan jalankan siasatan secara adil dan telus bagi memastikan kebenarannya," katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Insignia Baru dan Penyerahan Kenderaan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Makmal Forensik Cheras.
Beliau berharap masyarakat tidak membuat andaian sebelum laporan siasatan lengkap diperoleh.
Kata beliau, polis akan membantu Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang telah mengambil langkah segera dengan menubuhkan satu panel khas bagi menyiasat insiden itu.
Tan Sri Musa bin Tan Sri Haji Hassan yang melahirkan rasa sedih atas insiden tersebut turut menasihatkan ibu bapa agar lebih prihatin menjaga anak-anak bagi mengelakkan mereka daripada keluar rumah pada waktu yang tidak sepatutnya dan tidak melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang.
Petikan dari Kosmo
29 April 2010