Artikel
Polis Gagalkan Cubaan Seludup Syabu Dalam Seluar Dalam Di Kl
SHAH ALAM, 23 Julai 2010 -- Taktik seorang lelaki warga Iran menyeludup masuk dadah ke negara ini dengan menyembunyikannya di dalam seluar dalam terbongkar apa...
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, ACP Nordin Kadir berkata dalam tangkapan kira-kira pukul 11 malam semalam, suspek yang berumur 22 tahun itu ditahan bersama dua lagi suspek berumur 26 dan 27 tahun ketika baru tiba dengan penerbangan dari Iran.
"Hasil pemeriksaan polis menemui enam paket dadah dipercayai syabu seberat 1.13 kg yang disorokkan di bahagian depan tiga helai seluar dalam yang dipakai suspek berumur 22 tahun itu secara berlapis.
"Polis turut menemui empat bungkusan plastik mengandungi dadah disyaki syabu seberat 3.7kg yang disorokkan di bahagian tepi dua beg pakaian yang dibawa oleh dua lagi suspek. Nilai pasaran kesemua rampasan itu ialah kira-kira RM1.21 juta dan turut dirampas beberapa matawang asing," katanya dalam sidang media di sini Jumaat.
Nordin berkata siasatan mendapati dua suspek baru pertama kali masuk ke negara ini manakala seorang lagi suspek berumur 26 tahun pernah memasuki negara ini sebanyak tiga kali.
Katanya, siasatan juga mendapati ketiga-tiga lelaki itu telah menempah tiket penerbangan pergi dan balik dan mereka dijadualkan pulang ke Iran pada 27 Julai ini.
Nordin berkata dalam tangkapan kira-kira pukul 11 malam pada Rabu lepas, polis menahan dua lelaki Iran dalam keadaan mencurigakan dan hasil pemeriksaan polis menemui dadah dipercayai syabu dalam kasut sukan yang dipakai oleh kedua-dua suspek.
"Bila kasut itu dibuka dan diperiksa, polis menemui di bawah pelapik setiap kasut ada satu bungkusan plastik mengandungi dadah dipercayai syabu seberat kira-kira 1.3 kg (kira-kira 660 gram dadah dalam sepasang kasut) bernilai kira-kira RM330,000.
"Turut dirampas daripada mereka ialah beberapa matawang asing. Hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek berumur 26 dan 27 tahun dijadualkan berada di negara ini selama lima hari. Seorang suspek baru pertama kali datang ke negara ini manakala seorang lagi suspek pernah memasuki negara ini sebanyak dua kali," katanya.
Beliau berkata kesemua suspek kini ditahan reman sehingga 28 dan 29 Julai ini dan mereka disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Nordin meminta kerjasama orang ramai membantu menyalurkan maklumat bagi mengesan lima lelaki rakyat tempatan yang disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah di daerah Kajang.
Beliau berkata waran tangkap bagi menahan kesemua suspek telah dikeluarkan untuk ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya mereka adalah Yeap Shuen Pheow, 40, dari Kajang, Tang Lian Hong, 37, dari Jalan Kuchai Lama, Petaling Jaya, Soh Shyn Giin, 37, dari Cheras, Kuala Lumpur, Wong Kam Seng, 29, dari Kajang dan Tan Keat Leong, 23, dari Alor Setar, Kedah.
Nordin berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kelima-lima suspek itu diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Chia Chee Sheng di talian 019-3306497 atau bahagian siasatan jenayah narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di talian 03-87362222 sambungan 276.
Maklumat juga boleh disalurkan melalui SMS POLIS SEL 32728 atau Hotline IPK SELANGOR 03-20529999 atau mana-mana balai polis berhampiran, katanya.