Polis Buru Individu Sebar Maklumat Atau Buat Ancaman Palsu
Kuala Lumpur, 26 Jan - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memburu individu atau pihak tertentu yang cuba mencetuskan keresahan dan ketakutan orang ramai menerusi panggilan, penyebaran maklumat atau ancaman palsu.
Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Dato’ Seri Mohamad Fuzi Harun berkata usaha mengesan dan memburu mereka terbabit dilakukan menerusi kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta agensi lain berkaitan.
"Sebagai contoh baru-baru ini terdapat beberapa panggilan yang kononnya ada ancaman 'bom', kami tidak akan lepaskan mereka ini dan akan mengesan mereka," katanya kepada Bernama.
Selain itu Mohamad Fuzi berkata, mereka terbabit dalam penyebaran laporan palsu juga akan diburu dan dikenakan tindakan.
- BERNAMA