Perjawatan Kader Pdrm Diselaraskan Pengarah Pengurusan
Oleh : Kpl Edwind Indo
Penyunting : Insp. Abdul Rahim Othman Siru
Bukit Aman, 26 Jan – Majlis bersama Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dato’ Pahlawan Zulkifli Abdullah bersama kementerian, jabatan dan agensi luar telah membuka ruang perbincangan mengenai penyelarasan penugasan pegawai dan anggota polis pinjaman (kader) yang berlangsung di Dewan Theatrette, di sini hari ini.
Perbincangan yang julung-julung kali diadakan ini bertujuan untuk membincangkan tempoh perkhidmatan polis kader di dalam sesebuah agensi mengikut syarat waktu yang telah ditetapkan.
Berucap dalam majlis itu, Dato' Pahlawan Zulkifli turut menggesa ahli mesyuarat yang lain agar dapat mencari satu kaedah atau formula untuk menjaga dan memantau kebajikan para pegawai dan anggota polis yang dipinjamkan ke agensi lain agar kesinambungan perkhidmatan mereka dapat diwujudkan.
"Pewujudan saluran yang jelas itu membolehkan PDRM memantau penglibatan pegawai serta anggota kader dari skim kawalan dadah dan disiplin, disamping melihat kemajuan mereka dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik.
“PDRM akan memenuhi keperluan jabatan dengan membekalkan pegawai dan anggota polis yang pengetahuan dan kemahiran pegawai sebagai pulangan kepada agensi itu”, ujar beliau.
Hadir sama dalam majlis itu adalah Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan), DCP Dato' Mohd Fuad Abd. Latiff, Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentabdiran), SAC Azisman Alias, pegawai-pegawai dari lain-lain agensi dan warga Bukit Aman.
Ucapan Pengarah Pengurusan PDRM, Dato' Pahlawan Zulkifli Abdullah