Polis Buru Dua Lelaki Terlibat Dalam Cubaan Merompak Dan Kemalangan Jalan Raya
Kota Kinabalu, 20 Jan - Polis sedang mengesan dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam insiden cubaan merompak dan kemalangan jalan raya di sini pagi tadi.
Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, ACP M. Chandra berkata lelaki berkenaan yang berkulit gelap dan berumur antara lewat 20-an dan awal 30-an, telah cuba merompak seorang wanita di belakang sebuah bank di Jalan Gaya di sini kira-kira pukul 6.45 pagi.
"Bagaimanapun, satu pergelutan berlaku menyebabkan wanita berumur 27 tahun itu terheret masuk ke dalam kereta Proton Iriz yang dinaiki suspek," katanya.
"Semasa pengadu (wanita) melalui belakang Bank CIMB, seorang lelaki keluar dari sebuah kereta berhampiran dan telah menarik beg pengadu yang tidak dilepaskannya.
"Ini menyebabkan pengadu telah terheret masuk ke dalam kereta suspek. Suspek telah memandu kereta tersebut bersama pengadu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Chandra berkata, semasa dalam kereta, salah seorang suspek cuba mendapatkan beg tangan pengadu, tetapi terpelanting keluar kereta ketika pengadu meronta-ronta melepaskan diri dari dalam kereta itu.
"Pengadu telah menjerit dan meronta-ronta yang menganggu pemanduan suspek menyebabkan kereta yang dipandu masuk laluan bertentangan dan melanggar sebuah kereta (kenderaan) jenis (Toyota) Hilux warna hitam," katanya.
Beliau berkata, wanita itu berjaya melepaskan diri dan membuat laporan polis, manakala dua suspek berkenaan melarikan diri dan meninggalkan kereta terbabit di tempat kemalangan.
Chandra juga berkata, polis mendapati kereta berwarna kelabu itu dilaporkan hilang pada 14 Jan lepas dan menggunakan nombor pendaftaran palsu ketika kejadian.
Beliau berkata wanita itu pula hanya mengalami kecederaan ringan iaitu kesan calar pada kaki kanannya.
- BERNAMA