Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Polis Kelantan Rampas Dadah Bernilai Rm753 301 Dan Tahan 62 Pengedar

Diterbitkan: 20 Jan 2016 2.58 PM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.47 AM
Jeli, 20 Jan - Polis Kelantan merampas pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM753,301 dan menahan 62 orang disyaki pengedar dalam operasi membanteras dadah yang dijalankan sejak awal bulan ini hingga semalam.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/polis-kelantan-rampas-dadah-bernilai-rm753-301-dan-tahan-62-pengedar
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 24/09/2026 22:48 MYT


Jeli, 20 Jan - Polis Kelantan merampas pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM753,301 dan menahan 62 orang disyaki pengedar dalam operasi membanteras dadah yang dijalankan sejak awal bulan ini hingga semalam.

Ketua Polis Kelantan, Dato' Mazlan Lazim berkata dalam operasi itu, pihaknya menyita harta yang ada kaitan dengan suspek terbabit, bernilai RM272,290.

"Kita berjaya merampas pil kuda (methamphetamine) sebanyak 27,571 biji, syabu 177.7 gram, heroin 33.75 gram dan daun ketum 17.58 kilogram yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM753,301," katanya pada sidang akhbar di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Bukit Bunga di sini, hari ini.

Mazlan berkata, dalam operasi berkenaan pihaknya juga menahan 279 orang disyaki memiliki dadah dan 650 orang penagih.

Dalam rampasan terbaru pada Isnin lepas, beliau berkata polis menahan seorang penjual burger berusia 26 tahun dan merampas 11,980 pil kuda dianggar bernilai RM239,600 dalam raga motosikalnya, di Kampung Parit Air, Rantau Panjang, Pasir Mas.

Katanya, pihaknya mengesyaki lelaki berkenaan adalah orang perantaraan yang membawa dadah di kawasan sempadan Malaysia-Thailand menggunakan motosikal.

"Lelaki berkenaan direman selama empat hari bermula semalam untuk siasatan lanjut," katanya.

Sementara itu, Mazlan berkata polis merampas sepucuk pistol revolver Smith & Wesson bersama enam butir peluru dalam satu bungkusan plastik yang ditinggalkan di Kampung Kok Keli, Tumpat, semalam.

Katanya, tiada suspek ditahan dan pihaknya percaya senjata api itu digunakan dalam aktiviti penyeludupan dadah.

Bagi kes yang berkaitan dengan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, Mazlan berkata seramai 122 orang telah ditangkap sepanjang tahun lepas dan 10 orang sejak awal bulan ini hingga semalam.

- BERNAMA

ArtikelDiterbitkan 20 Jan 2016 2.58 PMDikemas kini 17 Jul 2026 11.47 AM