Polis Buru 3 Lelaki
SHAH
ALAM, 10 Ogos 2010 -- Polis memburu seorang anggota kumpulan samseng
yang dipercayai dapat membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki Sabah
di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini Julai lepas.
Ketua
Polis Daerah Shah Alam, ACP Noor Azam Jamaluddin berkata suspek
dikenali sebagai G Daneshkumar, 18, dengan alamat terakhir di Taman
Julaiha, Hutan Melintang, Perak.
Sehingga
kini polis menahan tujuh lelaki berusia dalam lingkungan 20-an yang
merupakan anggota kumpulan samseng terbabit, katanya pada sidang akhbar
di sini Selasa.
Dalam kejadian pada 24 Julai lepas, Palsibal Jailani, 26, mati selepas diserang 10 lelaki di Flat Valencia.
Sementara
itu, Noor Azam berkata polis juga ingin mencari seorang lelaki, Mohd
Rizal Husnan, 34, yang alamat terakhir di Taman Sri Haniko, Semenyih,
bagi membantu siasatan kes melarikan van keselamatan dan duit kutipan
RM320,000 di Seksyen 11 di sini 12 Mac lepas.
"Dia adalah pemandu van keselamatan syarikat keselamatan terbabit dan ketika kejadian baru dua bulan bekerja," katanya.
Noor
Azam berkata mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kesemua suspek
terbabit diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di
talian 03-55102222.
Sementara
itu dalam perkembangan berasingan, Noor Azam berkata jalan di kawasan
bazar Ramadhan Stadium Shah Alam di sini akan ditukar menjadi aliran
trafik sehala sepanjang Ramadhan ini bagi mengelakkan kesesakan yang
berlaku seperti tahun-tahun sebelum ini.
Beliau
berkata kawasan terbabit bermula dari susur persimpangan pangsapuri
Brunsfield di Seksyen 13 di sini sehingga Bulatan Stadium berdekatan
kawasan perumahan D'Kayangan.
"Aliran
trafik akan ditukar menjadi sehala bermula pukul 4.30 petang sehingga
7.30 petang setiap hari termasuk hujung minggu," katanya.
Beliau
berkata mereka yang memandu untuk ke bazar itu dari arah Bulatan
Kayangan perlu melalui jalan di hadapan Stadium Shah Alam dan masuk
melalui susur pasar raya besar Giant Seksyen 13 di sini.
Sehubungan
itu, beliau meminta supaya semua pemandu mengikut arahan pegawai trafik
yang bertugas bagi memastikan aliran trafik berjalan lancar.