Polis Bongkar Makmal Rampas Dadah Bernilai Rm300 000
Polis Bongkar Makmal, Rampas Dadah Bernilai Rm300,000
Kajang,
15 April - Polis membongkar sebuah makmal memproses dadah dan menahan
dua lelaki dan seorang wanita tempatan dalam serbuan di sebuah rumah di
Kampung Orang Asli Kachau, Ulu Semenyih dekat sini, Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ab Rashid Ab Wahab berkata polis turut merampas dua paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis heroin
dan tiga ketulan mampat disyaki berisi 'heroin base' yang masing-masing
seberat 908.7 gram dan 1,134.6 gram dianggarkan bernilai RM300,000
serta pelbagai bahan kimia, dan beberapa peralatan memproses dadah.
"Polis
menahan sepasang suami isteri yang berumur lingkungan 25 hingga 31
tahun dan pembantunya, 18 tahun, dalam serbuan pada 4 petang, 12 April
lepas.
"Setakat
ini kita hanya menahan tiga orang dan mengesyaki makmal itu baru
beroperasi. Peralatan yang dirampas juga masih baharu dan ada yang belum
diguna pakai," katanya kepada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata suspek ditahan di rumah kampung Orang Asli yang juga dijadikan makmal memproses dadah.
Ab
Rashid berkata siasatan awal polis mendapati suami kepada pasangan itu
mempunyai tiga rekod jenayah lampau melibatkan dadah dan curi.
Katanya
ketiga-tiga suspek ditahan reman selama enam hari mengikut Seksyen 117
Kanun Prosidur Jenayah (KPJ) dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta
Dadah Berbahaya 1952.- BERNAMA