Polis Bongkar Makmal Rampas Dadah Bernilai Rm250 000
George
Town, 11 Mac - Polis membongkar sebuah makmal memproses dadah di negeri
ini dan menahan seorang lelaki dalam serbuan di sebuah rumah teres di
Mount Erskine dekat sini, Sabtu lepas.
Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Supt S. Batumalai berkata
polis turut merampas satu kilogram dadah jenis syabu dan dua kilogram
serbuk putih dipercayai dadah berbahaya bernilai RM250,000 dan pelbagai bahan kimia serta beberapa peralatan memproses dadah.
"Hasil
maklumat yang diterima polis berjaya menahan lelaki berumur 41 tahun
dalam serbuan pada pukul 1.45 pagi, 9 Mac lepas. Setakat ini kita hanya
menahan seorang dan kita sedang menyiasat dan mencari kumpulan yang
terlibat. Siastan awal mendapati makmal ini telah beroperasi selama tiga
ke empat bulan dan dipercayai dadah ini untuk pasaran tempatan,"
katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau
berkata siasatan awal polis mendapati lelaki terbabit mempunyai dua
rekod jenayah lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya dan satu rekod di
bawah kesalahan jenayah.
Batumalai
berkata lelaki itu kini ditahan reman sehingga Jumaat bagi membantu
siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit
kesalahan boleh dihukum mati.
Beliau
juga meminta masyarakat setempat supaya menyalurkan maklumat kepada
polis sekiranya terdapat pergerakan yang mencurigakan atau bau yang
tidak menyenangkan di kawasan perumahan masing-masing. - BERNAMA