Polis Bongkar Makmal Proses Ecstasy
PULAU
PINANG, 3 Jun 2010 (Bernama) -- Polis menahan sepasang suami isteri dan
seorang remaja perempuan selepas menyerbu sebuah rumah di Jalan Sungai
Nibong di sini yang didapati dijadikan sebagai sebuah makmal memproses
dadah, dua hari lepas.
Ketua
Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kon Meng berkata bertindak hasil
maklumat orang awam, polis membuat intipan terhadap rumah itu selama
beberapa hari sebelum menyerbunya pada kira-kira pukul 1 tengah hari
Selasa lepas.
"Polis
menahan seorang lelaki berumur 29 tahun yang bekerja sebagai juruteknik
elektrik, dan isterinya yang berumur 25 tahun yang bekerja sebagai
juruwang," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.
Katanya
turut ditahan dalam serbuan itu ialah seorang remaja perempuan berusia
19 tahun yang bekerja sebagai ahli muzik yang dipercayai rakan kepada
pasangan tersebut.
Selepas
mengeledah rumah itu polis merampas pelbagai peralatan memproses dadah
serta empat bungkus serbuk dadah jenis ecstasy seberat 5.7 kilogram yang
dipercayai bernilai kira-kira RM171,000.
Gan
berkata antara perkakasan pemerosesan dadah yang dirampas termasuk
botol berisi cecair kimia, dapur elektrik, acuan untuk membuat pil
ecstasy, satu tukul kayu dan penimbang elektronik.
Beliau berkata dadah jenis ecstasy itu dipercayai dipasarkan di sekitar Pulau Pinang dan negeri-negeri berhampiran.
Menurutnya
ketiga-tiga mereka ditahan reman sehingga 8 Jun ini dan kes sedang
disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh
membawa hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan