Polis Berkas Pasangan Kekasih Edar Dadah
Langkawi, 12 Okt - Sepasang kekasih yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah jenis heroin dan syabu diberkas dalam satu serbuan, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Supt Dr Che Ghazali Che Awang berkata, lelaki berumur 30 tahun dan pasangannya yang berumur 19 tahun, ditahan sepasukan polis diketuai Insp Shaharuddin Shah dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kuala Temoyong di sini pukul 1.15 pagi.
Polis juga, katanya, menemui kira-kira 430 gram heroin dan 50.5 gram syabu yang disimpan suspek dalam beg plastik berwarna hitam yang diletakkan di bilik tidur rumah berkenaan.
Che Ghazali berkata, polis turut menemui wang tunai berjumlah RM830 dipercayai hasil jualan dadah dan satu buku Agensi Anti-Dadah Kebangsaan Daerah Langkawi (Orang Kena Pengawasan) milik suspek lelaki itu.
"Heroin dan syabu yang dirampas ini dianggarkan boleh digunakan untuk kira-kira 5,000 penagih," katanya.
Che Ghazali berkata, siasatan polis setakat ini mendapati kedua-dua suspek telah terlibat dalam aktiviti pengedaran di Langkawi sejak enam bulan lepas dan ujian pengesanan dadah turut mendapati kedua-duanya positif.
Katanya, kesemua dadah yang dirampas itu dipercayai diperoleh dari pembekal dari luar Langkawi dan cuba dibekalkan kepada penagih di kawasan Kedawang di sini.
Menurutnya polis telah memperoleh perintah reman tujuh hari ke atas kedua-dua suspek bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan khususnya untuk mengenalpasti jaringan aktiviti mereka.
Siasatan polis ke atas kedua-dua suspek dibuat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang memperuntukan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan dan Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Harta) 1988 bagi mengesan harta suspek yang diperolehi melalui hasil dadah, kata Che Ghazali.
- BERNAMA